Pembekalan rumah mampu milik kekal prioriti utama KN

GEORGE TOWN – Pembekalan perumahan mampu milik tetap menjadi prioriti utama Kerajaan Negeri di kelima-lima daerah bagi tempoh 15 tahun ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sejumlah 22,512 unit rumah mampu milik dari 12 projek telah dikenalpasti untuk dibangunkan.

“Sekurang-kurangnya empat projek dari 12 projek sedang dilaksanakan, termasuk projek pertama Bandar Cassia di Batu Kawan yang dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Hartanah FIABCI – PIP 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar, Pengerusi Pengelola Persidangan, Khor Siang Gin, jawatankuasa serta ahli-ahli FIABCI Wilayah Utara dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Menurut Guan Eng, sektor swasta termasuk syarikat-syarikat pemaju swasta juga menyokong penuh dasar perumahan mampu milik Kerajaan Negeri.

“Sehingga ke hari ini, sejumlah 12,606 unit rumah mampu milik yang dimajukan syarikat pemaju swasta telah diserahkan  kepada pihak berkuasa untuk jualan,” jelasnya.

Sungguhpun begitu, beliau memberitahu, terdapat beberapa halangan yang dihadapi Kerajaan Negeri dalam pembekalan rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang.

“Salah satu darinya, pengeluaran Permit Pengiklanan dan Lesen Pemaju atau Advertising Permits and Developers Licences (APDL) bagi kedua-dua sektor swasta mahupun negeri, biasanya mengambil masa dua minggu sahaja untuk pemprosesan sengaja dilewat-lewat oleh Kerajaan Pusat,” kata beliau.

Guan Eng memberitahu, dari 48 permohonan lesen yang dibuat dari bulan Ogos 2014, hanya 18 (lesen) diluluskan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sehingga April tahun ini.

“Sekarang sudah bulan Ogos 2015, sudah setahun, dan saya sendiri tidak pasti berapa lagi bilangan permohonan yang  ditangguhkan termasuk baki bilangan permohonan terdahulu dan yang dihantar untuk diproses tahun ini.

“Saya sendiri difahamkan bahawa pemaju yang memohon APDL telah mematuhi semua syarat-syarat ditetapkan dan tidak ada sebab untuk KPKT menahan atau menangguhkan permohonan APDL mereka,” tegasnya.

Selain itu, Guan Eng menyatakan bahawa halangan lain yang dihadapi adalah kadar penolakan pinjaman bank perdagangan bagi pinjaman perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik adalah tinggi.

“Saya telah membahaskan di Parlimen untuk memperkenal semula Skim Pemaju Tanggung Faedah (Developer Interest Bearing Scheme, DIBS) bagi pembeli rumah kali pertama dan akan terus membangkitkan hal yang sama demi kesejahteraan rakyat,” katanya yang berharap agar bank-bank perdagangan melonggarkan syarat pemberian pinjaman kepada pemohon perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi merealisasikan impian rakyat Pulau Pinang memiliki rumah pertama mereka.

Dalam pada itu, Jagdeep ketika ditemui berkata, Kerajaan Negeri mungkin perlu mempertimbang semula takat pendapatan isi rumah bagi pembeli rumah mampu milik untuk mengurangkan kadar penolakan oleh pihak bank.

“Pada masa ini, takat pendapatan isi rumah antara RM6,000 hingga RM10,000 adalah bagi rumah mampu milik bernilai antara RM200,000 hingga RM400,000.

“Sekiranya kita perlu meningkatkan takat pendapatan isi rumah ke RM9,000 hingga RM15,000, ia pastinya boleh mengurangkan kadar penolakan pinjaman bank, tetapi ia tidak mencapai objektif Kerajaan Negeri untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah,” jelas beliau.

Jagdeep menambah, kompromi dapat dipenuhi sekiranya Kerajaan Negeri memperkenalkan jenis skim baru yang mampu dimiliki pada harga RM150,000 dengan takat pendapatan adalah RM6,000 dan ke bawah.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan tetap berusaha mencari penyelesaian bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang memiliki rumah pertama mereka,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

}