Pembinaan Pusat Penjaja Taman Bukit baharu jangka siap akhir Januari ini

img 20260112 wa0050

PADANG LALANG – Projek pembinaan semula Pusat Penjaja Taman Bukit, di sini yang dimulakan sejak September tahun lepas dijangka siap pada 31 Januari 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Daniel Gooi Zi Sen berkata projek yang menelan kos RM500,000 itu dibiayai sepenuhnya oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong.

“Pusat penjaja baharu ini akan menempatkan seramai 11 orang peniaga sedia ada di sini yang mana mereka beroperasi sejak sejak puluhan tahun lalu tanpa kemudahan yang sempurna.

“Jadi, kami mengambil keputusan untuk menaik taraf pusat penjaja ini memandangkan kebanyakan makanan yang sajikan di sini sangat popular, malah ada yang mendapat pengiktirafan Michelin.

img 20260112 wa0054
Daniel Gooi Zi Sen menunjukkan sistem saliran yang dibina di tapak penjaja sementara Taman Bukit, di sini.

“Buat sementara itu, semua peniaga ditempatkan di tapak penjaja sementara yang dibina lengkap dengan kemudahan asas bersebelahan pusat penjaja lama yang dibiayai oleh pejabat saya sendiri.

“Sebab itu, kami berharap agar projek ini dapat disiapkan dan boleh beroperasi semula sebelum perayaan Tahun Baru Cina supaya perantau yang pulang dapat menikmati makanan di sini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media dekat sini pagi tadi.

img 20260112 wa0045img 20260112 wa0051img 20260112 wa0046

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), K. Yoganraj Thever; wakil Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Bernard Cheen Goon Hooin; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Rambai/Padang Lalang, Tan Neow Huat dan wakil syarikat kontraktor yang dilantik.

Mengulas lanjut, Zi Sen memaklumkan bahawa pusat penjaja baharu itu akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tandas, longkang serta bekalan air dan elektrik.

“Tidak ada sebarang bayaran sewa dikenakan kepada peniaga kerana pusat penjaja ini diuruskan oleh pihak MPKK Sungai Rambai/Padang Lalang apabila siap kelak.

“Sebaliknya peniaga hanya perlu membayar bil air dan elektrik bagi gerai masing-masing, manakala kos operasi akan ditanggung bersama oleh peniaga-peniaga di sini,” katanya yang juga Exco Belia, Sukan dan Kesihatan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS