Pembukaan UTC Komtar mampu beri limpahan ekonomi kepada peniaga

Admin

GEORGE TOWN – Pembukaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang dijangka mula beroperasi pada 3 Ogos depan dilihat mampu memberi limpahan ekonomi kepada peniaga-peniaga di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

 

Menurut Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng, pembukaan tersebut tepat pada masanya ekoran kelembapan ekonomi kini akibat masalah pandemik COVID-19.

 

“Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Kerajaan Negeri yang membawa idea ini sebelum diluluskan di peringkat Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan.

 

“Itu apa yang diberitahu, namun pengumuman rasmi perlu tunggu dari Kementerian Kewangan sendiri dan saya harap ianya akan dibuka secara rasmi seperti dijadualkan.

 

“Setakat ini 13 agensi (kerajaan) telah dikenalpasti akan ditempatkan di sini bagi membantu memudahkan urusan-urusan dari pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan lain-lain lagi,” ujar Lai Heng kepada Buletin Mutiara dalam satu temu bual hari ini.

Ditanya mengenai akses parkir, katanya kemudahan tersebut masih banyak di Komtar.

 

“Kemudahan parkir masih banyak sebenarnya di kawasan parkir bertingkat, kita ada ratusan parkir lagi setiap hari untuk menampung kehadiran orang ramai.

 

“Walaubagaimanapun saranan saya, orang ramai yang ingin ke UTC lebih baik menggunakan pengangkutan awam sebagai pilihan.

 

“Ini kerana Komtar terletak di Pusat Bandar, akses kepada bas pun lebih mudah, ada bas percuma lagi dan e-hailing juga boleh jadi pilihan sekiranaya dihitung dari segi kos petrol, parkir andai menggunakan kereta sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar.

 

Kesempatan sama, Lai Heng turut turun ke tingkat dua Komtar untuk meninjau sendiri persiapan untuk pembukaan.

 

Katanya daripada 13 agensi, sembilan agensi sudah memasuki premis dan kelengkapan prabot, teknologi maklumat dan utiliti sudah disiapkan.

 

“Baki lagi empat jabatan kita jangka akan selesai pindah masuk ke sini pada pertengahan Julai ini,” katanya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN