GEORGE TOWN – Seramai lapan pemenang bagi dua peraduan anjuran sidang redaksi Buletin Mutiara dimuktamadkan hari ini.
Pertandingan Bakat Si Cilik Mewarna 2/2025 dan Pertandingan Melukis Poster bertemakan Sungai Khazanah Negara menerima lebih 1,000 penyertaan.
Pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang itu menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM500 kepada pemenang tempat pertama, tempat kedua (RM300), ketiga (RM200) dan lima hadiah saguhati (RM50) bagi Bakat Si Cilik Mewarna.
Manakala pertandingan melukis pula, pemenang tempat pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM700, tempat kedua (RM500) dan ketiga (RM300).
Berikut adalah senarai pemenang mengikut kategori peraduan : peraduan Bakat Si Cilik Mewarna
Pertama – Mak Chu Sheng
Kedua – Chew Li Qian
Ketiga – Nor Afrina Aleesya Norhisyam
Saguhati – Kua Xin Ying; Tan Ke Xin; Dylan Teoh Xuan Jun; Raihana Azwani Mohd. Rahimi & Zara Alisha Mohd. Zulhilmie
Peraduan Melukis Poster ✍
Pertama – Siti Faridah binti Yahaya
Kedua – Diana Juwana Junaidi
Ketiga – Nursyahfiqah Adiana Wassdih

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri yang juga Setiausaha Akhbar kepada YAB Ketua Menteri, Yap Lee Ying memaklumkan bahawa pertandingan pada kali ini adalah bersempena sambutan Hari Sungai Sedunia yang diraikan pada 4 Julai lalu.
“Penganjuran kali ini juga merupakan julung kali diadakan dengan kerjasama JPS Negeri.
“Kami (Buletin Mutiara) amat berbesar hati apabila penganjuran kali ini mendapat banyak penyertaan dari negeri-negeri Pantai Timur dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).
“Saya harap penganjuran selepas ini juga mendapat penyertaan lebih banyak memandangkan medium penyertaan secara dalam talian turut diwujudkan selaras dengan peredaran komunikasi semasa,” ujarnya ketika ditemui pada sesi pemilihan pemenang di Komtar.

Pengarah JPS Pulau Pinang, Lt. Kol. Bersekutu (PA), Ooi Soon Lee; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN), Noor Hadzila Zainol dan Pegawai Tadbir Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Yuweneswaran hadir sebagai panel juru pemilihan.
Usai pemilihan pemenang, Soon Lee ketika ditemui memberitahu bahawa tema yang diketengahkan oleh Buletin Mutiara bukan sahaja menarik malah mampu memupuk semangat cintakan sungai terutama dalam kalangan peserta cilik.
“Misalnya melalui pertandingan melukis, saya melihat bahawa peserta faham dan menjiwai tema yang ditetapkan, sekali gus (mereka) tahu akan kesan dan akibat tidak menjaga sungai,” katanya.

Sementara itu, Nood Hadzila pula berpendapat bahawa selepas ini Buletin Mutiara boleh bekerjasama dengan beberapa jabatan serta agensi kerajaan lain yang mempunyai hari-hari istimewa tertentu sebagai tema pertandingan.
“Macam Jabatan Kesihatan ada Hari Kesihatan Mental, mungkin juga boleh diadakan pada tempoh tersebut selain mempromosikan kesihatan mental kepada pelajar-pelajar khasnya mereka yang berada di institut pengajian tinggi (IPT),” jelasnya.

Bagi Yuweneswaran, beliau menyifatkan penyertaan para peserta pada kali ini berjaya mengetengahkan karya yang luar daripada kotak pemikiran.
“Semua hasil karya ini saya cadangkan mungkin boleh dijadikan mural atau diletakkan di tempat khas sebagai bentuk penghargaan.
“Mungkin juga karya (di bawah) tema sungai kita ini boleh diletakkan di papan-papan pemberitahuan berhampiran sungai sebagai kempen kesedaran juga,” katanya lagi.

Difahamkan, pada edisi kali ini, tiada penyertaan dalam talian diterima. Semua pemenang akan dihubungi dalam masa terdekat.
Tahniah kepada semua pemenang!
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING