Pemeriksaan kesihatan awal, tingkat peluang kesan kanser kanak-kanak

1d79edaf 4d80 44a7 b009 bdaa41027ff5 GAMBAR kenang-kenangan sempena Program Cahayakan Komtar Dengan Warna Keemasan sempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak di The Top @Komtar di sini pada 1 September 2025.

GEORGE TOWN – Ibu bapa serta waris yang segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan untuk anak-anak mereka sebenarnya sangat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengesan dan merawat pesakit kanser kanak-kanak pada tahap awal.

4bdc85f8 ffed 4a71 9836 ad37ce540779
DANIEL Goo Zi Sen menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis berkaitan di sini tadi.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata demikian semasa merasmikan edisi keempat Program Cahayakan Komtar Dengan Warna Keemasan sempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak di The Top @Komtar di sini pada 1 September 2025.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Benji Ang Ming Quan; Penolong Pengurus Besar The TOP Komtar, Zaidinar Mohamed; Pengurus Pemasaran The TOP Komtar, Jen Ching; Pakar Pediatrik Hospital Lam Wah Ee, Dr. Tan Eng Guan; Naib Presiden Sanmina-SCI (M) Sdn. Bhd., K.S.S. Rajendran dan Pengarah Sumber Manusia Kanan Sanmina-SCI (M) Sdn. Bhd., Dr. May Luwe Chin Kei.

228775f8 8eb7 4315 be3f 37042b5442e2
DANIEL Gooi Zi Sen (tengah) dengan diiringi Teh Lai Heng (tiga dari kanan) menyaksikan pihak Sanmina-SCI (M) Sdn. Bhd. menyampaikan replika cek sumbangan bantuan berjumlah RM20,000 kepada FOCCAN di sini tadi.

Mengulas lanjut, Zi Sen memberitahu bahawa usaha Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) menganjurkan kempen serta program berkaitan selama ini sebenarnya memang banyak membantu pada kesedaran masyarakat.

“Saya sedar bahawa ia bukanlah sesuatu yang mudah bagi kanak-kanak yang menghidapi penyakit kanser dan keluarga mereka.

“Kesan kanser kanak-kanak, seperti penjejasan kesihatan emosi dan fizikal, pengasingan sosial dan kesepian serta beban ekonomi, telah mengganggu kehidupan pesakit dan keluarga mereka.

“Kerajaan Negeri memandang serius terhadap isu-isu masalah membabitkan kesihatan seperti ini dalam kalangan kanak-kanak.

“Pada kesempatan ini, ingin saya menarik perhatian dan menyeru kepada ibu bapa agar senantiasa memantau keadaan (kesihatan) anak masing-masing kerana rawatan cepat boleh membantu mengurangkan risiko serta meningkatkan peluang sembuh,” jelasnya ADUN Padang Lalang itu lagi.

Sumber daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa setiap tahun dianggarkan 400,000 kanak-kanak dan remaja berusia sehingga 19 tahun didapati menghidap kanser di seluruh dunia; yang mana angka ini dipercayai akan terus meningkat jika tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Pun begitu, sumber mendedahkan, kanak-kanak yang menghidap kanser mempunyai 80 peratus peluang meneruskan hidup, sekiranya kanak-kanak itu mendapatkan rawatan awal di hospital.

Laporan ‘Incidence of Childhood Cancer in Malaysia 2007-2016′ pula dipetik mendedahkan, terdapat peningkatan sebanyak 5.2 peratus daripada jumlah pelaporan kes kanser adalah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Bagi tempoh tahun 2012-2016, sumber sama mendedahkan sebanyak 4,303 kes kanser adalah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, berbanding 4,089 kes (2007-2011).

Dari segi kadar insiden kanser pula, menurut sumber berkaitan, menunjukkan peningkatan iaitu dari 3.49 kepada 3.81 per 100,000 dalam kalangan kanak-kanak dan remaja lelaki; dan dari 2.92 hingga 3.07 per 100,000 dalam kalangan kanak-kanak dan remaja perempuan.

8abf9e09 a100 46c4 986c 3197ec158250
BENJAMIN Tiang
db60bbd2 71bd 47d7 a279 648040d48f3d
MAZNAH Tayib

Dalam pada itu, Pengerusi FOCCAN, Maznah Tayib memaklumkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut setakat bulan Ogos tahun ini telah menerima 48 kes kanser baru, 5 pesakit ‘relapsed’ atau berulang dan 4 pesakit menjalani rawatan transplan.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa baru-baru ini terdapat satu kes bayi yang berusia sebulan disahkan menghidapi kanser neuroblastoma.

Sehubungan itu, beliau berharap para pengamal media dapat memainkan peranan yang wajar dengan membantu FOCCAN menyemarak kempen kesedaran dalam komuniti agar semua pihak segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan khusus untuk anak kecil masing-masing, demi mengesan kanser kanak-kanak pada tahap awal.

Turut berucap, Penasihat FOCCAN, Benjamin Tiang.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT