Pemilik diberi notis pulihara bangunan warisan British Navy

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Pemilik bangunan, Tetuan Runneymede Hotels Sdn. Bhd. diberi notis berwajib demi memulihara semula enam blok bangunan warisan bersejarah dekat No. 40 Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, yang pernah dijadikan markas British Navy pada era Perang Dunia Kedua 1940-an dulu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengeluarkan notis tersebut adalah berdasarkan Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Seksyen 83, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Berdasarkan peruntukan sedia ada juga, jika mana-mana bangunan berada di dalam keadaan usang, kotor, terbiar dan berbahaya dari segi kestabilan dan keselamatan, maka, MPPP boleh mengeluarkan notis untuk menghapuskan kacau ganggu tersebut kepada pemilik,” ujarnya ketika mengadakan sesi lawatan di sini baru-baru ini.

Tambah Kon Yeow, MPPP sebenarnya turut mempunyai hak untuk merujuk kes seumpama itu ke Mahkamah sekiranya pemilik premis masih tidak mematuhi kehendak notis-notis dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Jelasnya, tanah bangunan usang di atas lot 132 dan 133 sepatutnya dimajukan bersama bangunan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) di atas lot tanah 131 sebagai sebuah hotel, namun, masih tidak dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu.

Difahamkan, bangunan bersejarah berkonsepkan New Classical tersebut pernah mula dibina pada tahun 1809 sebagai sebuah hotel. Bangunan warisan itu direkodkan pernah terbakar pada tahun 1920 dan dibaikpulih semula pada tahun berikutnya.

Dalam era 1940-an yang menyaksikan Perang Dunia Kedua meletus, bangunan tersebut dijadikan markas untuk Tentera Laut Diraja British (British Navy).

Selepas itu, bangunan warisan tersebut dijadikan kubu penjajah oleh Tentera Jepun sebelum diambil alih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai era kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos 1957.

Justeru, Kon Yeow memberitahu, kesemua enam blok itu direkodkan sebagai bangunan warisan kategori kedua sungguhpun kedudukannya sedikit di luar George Town Tapak Warisan UNESCO.