PEN 33, lonjakan penjenamaan ‘Powered in Penang’

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BATU MAUNG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa projek bangunan Ibu Pejabat Solid State Lighting (SSL), Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi OSRAM Opto Semiconductor (Malaysia) Sdn. Bhd. (OSRAM) turut menerima suntikan dana Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejumlah RM15.5 juta.

Mengulas lanjut, beliau berharap, hasrat Kerajaan Negeri itu akan menggamit lebih ramai pelabur ke Pulau Pinang, malah menyediakan kira-kira 300 lagi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baharu kelak.

“Pulau Pinang akan terus meningkatkan penumpuan terhadap projek-projek perkongsian awam swasta (PPP) dalam menarik lebih ramai pelabur serta pelaburan semula.

“Bangunan baharu PEN 33 ini merupakan satu lagi lonjakan kepada penjenamaan ‘Powered in Penang’,” katanya dalam Majlis Perasmian Pembukaan Bangunan Baharu PEN 33 tersebut di sini baru-baru ini.

Ketika berucap, Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam turut merakamkan penghargaan atas kesetiaan OSRAM yang melabur di negeri ini sejak 45 tahun lalu.

“Dan, saya berkenan untuk melihat kerjasama ini terjalin untuk 45 tahun akan datang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Tambah beliau, bangunan baharu ‘PEN 33’ dengan luas lantai 6,500 meter persegi merupakan reka bentuk moden demi memenuhi citarasa pelaburan terpilih serta berdaya saing yang berhasrat ke negeri ini.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Pengoperasian (COO) OSRAM, Jascha Ortmanns memberitahu, pihaknya yakin ‘PEN33’ akan menambah ‘kekuatan’ OSRAM di Pulau Pinang, terutamanya dalam memenuhi permintaan pasaran bagi SSL.

“Dengan 77 peratus pasaran di Asia, OSRAM turut menyasarkan ia berkembang pada kadar 80 peratus menjelang tahun 2020 di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif investPenang (IP), Loo Lee Lian; Pengurus Besar OSRAM, Dr. Roland Mueller dan Ketua Pegawai Kewangan OSRAM, Ingrid Jaegering turut sertai majlis berkenaan.

Difahamkan, OSRAM bertapak di Zon Perindustrian Bebas (FTZ) Bayan Lepas pada 1972 dengan menggunakan nama Litronix sebelum bergabung bersama Siemens pada tahun 1981.