GEORGE TOWN – Penang Football Club (Penang FC) hari ini menerima tajaan korporat berjumlah RM120,000 daripada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) bagi menempuhi musim saingan Liga Super 2025-2026 dan berada pada kedudukan terbaik dalam carta perlawanan, seperti disasarkan.

Semasa mengumumkan perkara itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berharap kelab bola sepak negeri itu menerima lebih banyak tajaan dan sumbangan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk daripada syarikat lokal yang berminat.
“Menerusi pasukan pemasaran di bawah Penang FC ini, kita cuba untuk mendapatkan lebih banyak lagi tajaan untuk memperkukuh skuad (Harimau Kumbang) kita,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang sebelum menerima cek replika tajaan korporat RM120,000 daripada Pengurus Besar PHC di Komtar pada 15 Julai 2025.
Dalam perkembangan lain, Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, masuk minggu keenam persiapan menghadapi saingan musim baharu menyaksikan skuad Harimau Kumbang berada pada landasan yang baik.
Berbaki kira-kira tiga minggu lagi sebelum masuk saingan Liga Super 2025-2026, beliau berharap Penang FC dapat perbaiki kedudukan sekurang-kurangnya pada tangga ketujuh terbaik dalam senarai liga kelak, seperti disasar peringkat kelab.
Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew Gim Ean; Duta Penang FC, Mohd. Faiz Subri; dan beberapa pemain lain, Stefano Brundo, Dylan Wenzel Hall, Wan Zack Haikal dan Khairul Azhan turut sertai sidang media tersebut di Komtar.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT