Penang FC terima tajaan Vitahealth, Agym Nutrition

Admin
whatsapp image 2025 08 12 at 11.33.49

GEORGE TOWN – Penang FC menerima tajaan bernilai RM45,000 daripada dua syarikat pembekal supplemen dan pemakanan sukan tempatan terkemuka bagi menghadapi saingan Liga Super 2025-2026.

whatsapp image 2025 08 12 at 11.33.48
DANIEL Gooi Zi Sen.

 

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, syarikat Vitahealth Malaysia Sdn. Bhd. (Vitahealth) sebelum ini telah menjalinkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) selama dua tahun.

 

“Kini, melangkah ke fasa baharu dalam menyokong kecemerlangan sukan di Pulau Pinang Vitahealth sebagai Rakan Rasmi Suplemen akan menaja suplemen bernilai RM20,000 bagi meyokong prestasi, pemulihan dan kesihatan keseluruhan skuad Penang FC.

 

“Manakala, syarikat Agym Nutrition Sdn. Bhd. (Agym Nutrition) akan menjadi Rakan Protein Rasmi Penang FC bagi musim ini dengan tajaan berbentuk dukungan (in-kind sponsorship) yang bernilai RM25,000.

 

“Selain itu, Agym Nutrition juga sangat berbesar hati menaja barangan produk protein bernilai RM25,000 kepada MSNPP untuk atlet-atlet Pulau Pinang dalam membantu proses penyediaan kontinjen menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor pada Ogos 2026,” ujarnya pada sidang media di Komtar hari ini.

whatsapp image 2025 08 12 at 11.33.48 (3)
DANIEL Gooi Zi Sen (tiga dari kanan) pada sidang media berkaitan di sini.

Hadir sama, Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew Gim Eam; Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua; Duta Penang FC, Faiz Subri; Ketua Pegawai Eksekutif Vitahealth Malaysia & Singapura, Dr. K.S. Beh dan Ketua Pegawai Eksekutif Agym Nutrition, Abdul Hafiz Abdul Khalim,

 

Dalam sidang media sama, Zi Sen menyatakan harapan agar jalinan kerjasama strategik ini akan terus diperkasakan pada masa hadapan sebagai suntikan dorongan dan motivasi untuk para atlet beraksi cemerlang di pentas sukan yang diceburi.

 

Saya juga berharap ia akan menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain untuk sama-sama menyumbang terhadap pembangunan sukan negeri, sama ada tajaan dalam bentuk kewangan mahupun peralatan.

 

“(Dan) sebagai Pengerusi MSNPP serta Penang FC saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Vitahealth dan Agym Nutrition yang sudi bekerjasama untuk melahirkan atlet-atlet negeri yang lebih sihat, kuat dan bertenaga,” katanya.

whatsapp image 2025 08 12 at 11.33.48 (1)
WAKIL Vitahealth menyerahkan cek cura kepada Jeffrey Chew Gim Eam (tiga dari kanan) sambil disaksikan oleh Daniel Gooi Zi Sen (tiga dari kiri) di sini hari ini.

Vitahealth merupakan jenama suplemen kesihatan milik Australia yang telah lama berada di pasaran dalam memenuhi keperluan kesihatan dan kesejahteraan fizikal serta mental semua peringkat umur.

 

Agym Nutrition pula, jenama pemakanan sukan tempatan dengan misi membantu atlet mencapai prestasi optimum melalui pemakanan berasaskan sains dengan rangkaian produk berkualiti tinggi yang diperakukan secara saintifik.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: M. DANESHWARAN