Penang Run tumpu cabaran Seberang Perai

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Berasaskan sasaran penyertaan seramai 1,500 peserta, penganjuran sukan rekreasi, Penang Run 2014/2015 (Penang Run) bakal meneroka keunikan di tiga daerah di Seberang Perai.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng berkata, penganjuran Penang Run Ke-2 adalah meliputi tiga siri utama iaitu Seberang Perai Utara (SPU) yang bakal berlangsung pada 1 Jun ini di Dewan Datuk Hj. Ahmad Badawi, Seberang Perai Selatan, SPS (26 Oktober ini), Nibong Tebal dan Seberang PeraiTengah, SPT (11 Januari 2015), Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Perda, Bukit Mertajam.

“Ini adalah satu pembaharuan untuk perkenal dan giatkan aktiviti di Seberang Perai.

“Malah, para peserta juga bakal melalui pengalaman baru serta mencabar dalam tiga siri penganjuran ini,” ujarnya pada sidang media pengumuman penganjuran Penang Run baru-baru ini di sini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif dan wakil Active Style Concept Sdn. Bhd., Andrew LohLean Hock selaku penganjur bersama. Sejumlah RM64,700 wang tunai dan piala iringan disediakan untuk lima penyertaan tertinggi bagi setiap kategori dipertandingkan.

Yuran penyertaan adalah sebanyak RM60 bagi setiap siri atau RM180 untuk combo tiga siri.

Para peserta bakal dibekalkan dengan baju t, pingat unik bagi yang berjaya menamatkan saringan pada waktu ditetapkan dan e-sijil.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang, www. penangrun.com.