Sasar kematian jalan raya P. Pinang terus berkurang

Admin

O l e h : ZAINULFAQAR YAACOB

TANJUNG BUNGAH – Kerajaan Negeri berharap kadar kematian jalan raya dapat dikurangkan dari 1.72 kes untuk 10,000 kenderaan berdaftar di negeri ini kepada 0.5 kes menjelang tahun 2020.

Justeru, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sendiri mempertimbang syor untuk menubuhkan jawatankuasa khas membabitkan semua agensi berwajib demi merealisasikan hasrat tersebut.

“Ubah sikap pemandu adalah salah satu kempen yang perlu dilakukan, dengan sokongan semua agensi terbabit.

“Satu lagi, syor pembangunan jalan raya yang memenuhi (ciri-ciri) kejuruteraan yang selamat untuk semua jenis kenderaan dan pengguna.

“Kerajaan Negeri sendiri akan mula mengaudit jalan raya sedia ada, bukan hanya tertumpu pada kawasan-kawasan kerap berlaku kemalangan semata-mata,” ujarnya kepada wartawan selepas merasmikan majlis penutupan Bengkel Pembentukan Strategi Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah (Pensyarah merangkap Penyelidik  Bidang Keselamatan Jalan Raya dari Universiti Sains Malaysia, USM) turut hadir pada bengkel selama dua hari satu malam itu.

Sebelum itu, Ahmad Farhan memberitahu bahawa perubahan sikap pengguna, bentuk jalan raya yang boleh mengurangkan risiko kematian, data kecederaan kritikal dari hospital dan jalan raya yang selamat untuk kenderaan motosikal merupakan empat elemen penting yang wajar dititikberatkan dalam merencana strategi menurunkan indeks kematian tiap-tiap tahun.

“Kita sangat gembira kerana boleh memulakan inisiatif ini di Pulau Pinang dengan data daripada hospital dan melalui MKJR (Majlis Keselamatan Jalan Raya), kita akan cuba menjayakan pelan (Keselamatan Jalan Raya) ini secara bersama,” jelasnya.

Lebih 40 peserta mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), MKJR, Jabatan Imigresen Malaysia, Hospital Besar Pulau Pinang, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Jabatan Penyiaran Malaysia, Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Jabatan Pendidikan Negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyertai bengkel kali ini.

Angka kematian jalan raya di negeri ini pada tahun lepas direkodkan menurun sehingga 386 kes, berbanding tahun 2012, 401 kes.