BERTAM – Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama-sama isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor perkenan menyempurnakan acara perasmian pembukaan Pop-Up Forest Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Sempena Luna Lights Wonderland 2023 di taman rekreasi awam Vision Park Kepala Batas dekat sini pada 14 November 2023.
Mewakili Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai dalam ucapannya berkata bahawa pemasangan 1.4 juta lampu bagi program berkenaan turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pameran lampu terbesar di Malaysia.
“Kebanggaan kita bukan sahaja pada program pencahayaan ini, bahkan juga pengiktirafan yang diterima oleh MBSP daripada Malaysia Book of Records bagi pameran lampu terbanyak di Malaysia yang bertempat di Vision Park,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Read Bear Event kerana memilih Seberang Perai sebagai destinasi terawal untuk mempromosikan ‘showcase’ lampu hiasan dari jenis lampu diod pemancar cahaya (LED).
“Saya difahamkan sebelum ini MBSP juga telah bekerjasama (dalam) mengadakan program sebegini pada tahun 2020 di Upcycle Park (berhampiran Menara Bandaraya MBSP) dan mendapat perhatian lebih 20,000 pengunjung bagi tempoh tersebut.
“Saya begitu terkesima dengan keindahan lampu di sini dengan sebanyak 1.4 juta ‘lightbulbs’ dari jenis LED di kawasan Vision Park yang berkeluasan 24 ekar,” jelasnya sambil berharap Red Bear Event dapat terus membuat penjelajahan acara ke seluruh bahagian Seberang Perai dan bahagian pulau.
Sementara itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad yang berucap sebelum itu memberitahu bahawa tujuan Pop-Up Forest MBSP Sempena Luna Lights Wonderland 2023 adalah untuk merancakkan sektor pelancongan lokal sebagaimana dihasratkan Kerajaan Negeri berlandaskan Visi Penang2030.
Menurutnya lagi, Luna adalah berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud bulan, ianya bersesuaian dengan tema utama LUNA Aerospace untuk pameran pencahayaan ini.
“Luna Light Wonderland 2023 adalah pameran lampu hiasan yang bertemakan Animal Kingdom, Vision Ocean, Aquatic, Romance, LUNA Aerospace, Mystery Forest, Aurora Lights and Main Mascot Luna yang merangkumi penggunaan sebanyak 1.4 juta lightbulbs dari jenis LED yang dipasang di keseluruhan kawasan lapang/ hijau (fasa 1) Taman Rekreasi Vision Park, Seberang Perai seluas 24 ekar,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada Red Bear Event atas penganjuran bersama acara pameran pencahayaan di sini.
Hadir sama, barisan Ahli Majlis bagi MBSP dan Pengarah Red Bear Event, Mark Tan Khow Chuan.
Serentak pada majlis sama, Perunding Rekod Kanan MBOR, Siti Hajar Johor menyampaikan plak pengiktirafan berkaitan kepada Azhar sambil disaksikan Tun Ahmad Fuzi dan Hon Wai.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI