GEORGE TOWN – Pendaftaran untuk program tahunan Sidang Wanita Pulau Pinang kini rasmi dibuka, menandakan penganjuran edisi keenam program yang bertujuan membina kapasiti kepimpinan wanita dalam arena politik tempatan.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata program anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) itu berjaya melahirkan lebih 200 pemimpin wanita sejak diperkenalkan lima tahun lalu, dan secara kumulatif memberi manfaat kepada lebih 700 peserta wanita daripada pelbagai latar belakang.

“Sidang Wanita ini satu-satunya platform khusus bagi wanita untuk membina minat serta memahami sistem pentadbiran negara berdasarkan prinsip pemisahan kuasa legislatif dan eksekutif.
“Menurut dapatan Tinjauan 5 Tahun Sidang Wanita, sebanyak 85 peratus responden melaporkan berlakunya perubahan positif dalam penglibatan politik mereka.
“Malah, 50 peratus peserta menyifatkan program ini sebagai ‘jauh melebihi jangkaan’, manakala 41.2 peratus lagi menyatakan ‘sangat banyak’ memenuhi matlamat peribadi mereka,” ujarnya pada sidang media dekat Komtar di sini, sebentar tadi.
Menurut Siew Khim, antara impak terbesar program tersebut ialah peningkatan kefahaman politik, kemahiran kepimpinan dan pembinaan jaringan profesional bersama tokoh politik tempatan.
Tambahnya, empat mantan peserta Sidang Wanita sebelum ini telah tampil sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.

Sidang Wanita tahun ini menyaksikan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze sebagai Pengerusi Jawatankuasa Petugas, yang bertanggungjawab memantau hala tuju program serta kandungan pengisiannya.
Dalam ucapannya, Syn Tze berkata program ini amat signifikan dalam mendidik dan memperkasa wanita daripada pelbagai latar untuk memahami peranan legislatif, termasuk pengalaman bersidang sebenar dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
“Saya sendiri tidak berpeluang menyertai Sidang Wanita sebelum menjadi wakil rakyat.
“Sekiranya saya lebih awal menyertai, pasti ia memudahkan persiapan bersidang kerana Sidang Wanita adalah platform sangat berkesan dan menyerupai persidangan sebenar,” jelasnya.
Syn Tze turut menggariskan pelaksanaan empat fasa Sidang Wanita 2025 yang merangkumi Klinik Kepimpinan Wanita sebagai Fasa Pertama, diikuti Bengkel Pembangunan Kapasiti (Fasa Kedua), Bengkel Persediaan Perwakilan (Fasa Ketiga) dan akhirnya Hari Persidangan sebagai Fasa Keempat.

Tambah Syn Tze, rangka kerja pemilihan peserta akan dilaksanakan secara telus dan adil, berdasarkan penglibatan aktif mereka dalam dua fasa pertama.
“Hasil perbahasan pada hari persidangan pula akan didokumentasikan dan diserahkan kepada Exco berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Turut diumumkan, barisan ahli Jawatankuasa Petugas yang akan membantu dalam penyelarasan program iaitu Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Pulau Pinang, Dato’ Aida Yusoff Rawa; Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Balik Pulau, Nurhidayah Che Rose; Ketua Puteri UMNO Pulau Pinang, Ameera Nadia Mohd. Shafiee dan Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng.
Naskhah penerbitan Sidang Wanita Pulau Pinang 2024 juga boleh dimuat turun secara percuma di laman web rasmi bermula hari ini manakala versi bercetak akan mula diedarkan pada September 2025.
Orang ramai khususnya wanita yang berminat, termasuk ahli parti politik, profesional, usahawan, penjawat awam, aktivis dan pelajar institusi pengajian tinggi awam/swasta, dipelawa untuk mendaftar secara atas talian di www.sidangwanita.my.
Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: LAW SUUN TING