SEBERANG JAYA – Rata-rata penduduk di sekitar Kampung Pertama, di sini meluahkan saya lega apabila Bailey Bridge di Jalan Permatang Pauh merentasi Sungai Derhaka dibuka semula kepada semua jenis kenderaan semalam.
MOHD. RIZUWAN SALLEH dari Permatang Nibong ketika ditemui berkata jambatan tersebut merupakan laluan utama dari Kampung Pertama ke Perda menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif yang sempit.

Katanya, keadaan itu menyebabkan masa perjalanan bertambah daripada 15 minit kepada lebih 30 minit untuk ke tempat kerja di Permatang Pauh.
“Selepas jambatan ini ditutup pada minggu lepas akibat kerosakan, penduduk di sinj terpaksa menggunakan jalan kampung yang agak jauh dan sempit.
“Semalam, jambatan ini dibuka semula kepada kenderaan dan sudah pasti memberi kelegaan kepada penduduk di sini,” katanya ketika ditemui di restoran berdekatan semalam.
Namun begitu, Rizuwan berharap agar sebuah jambatan kekal yang lebih lebar dapat dibina secepat mungkin demi keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.
“Jambatan sedia ada sebenarnya agak sempitenyebabkan jalan di sini sesak terutama pada waktu puncak.
“Jadi, saya harap apabila siap kelak, jambatan ini mampu mengurangkan kesesakan di kawasan ini,” katanya lagi.
FARZIEY NAWAI, yang bermastautin di Kampung Pertama sejak 15 tahun lalu pula berharap agar jambatan baharu yang dibina kelak turut menyediakan laluan bagi motosikal bagi mengurangkan insiden kemalangan yang kerap berlaku di kawasan berkaitan.

“Jambatan ini penting kerana menjadi menjadi laluan utama bagi penduduk untuk ke Bandar Perda dan kawasan Seberang Jaya.
“Apabila jambatan ini ditutup minggu lepas, keadaan di sini menjadi sangat sesak kerana kereta dan lori terpaksa berpatah balik.
“Selepas jambatan sementara ini dibuka kepada kenderaan semalam, memang memberi kelegaan kepada penduduk terutamanya yang menghantar anak ke sekolah di sini,” ujarnya yang menggunakan jambatan tersebut setiap hari.
Sementara itu, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), ZULKIFLI MD. YUSOP berkata permohonan bagi projek pembinaan sebuah jambatan kekal telah dimohon oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Jika projek ini lulus, kita harap jambatan baharu nanti dibuat lebih lebar untuk menampung jumlah kenderaan yang melalui kawasan ini terutamanya pada waktu puncak.
“Kita optimis bahawa pihak kementerian akan mempertimbangkan cadangan pelebaran tersebut kerana jambatan ini merupakan laluan utama bagi penduduk dari Sungai Dua untuk ke Bandar Perda dan Seberang Jaya.
“Berkenaan cadangan untuk menyediakan laluan khas motosikal, kita akan berbincang dengan pihak kementerian dan MBSP untuk melihat sama ada perkara itu sesuai atau tidak,” katanya.
Zulkifli berkata, pihaknya juga akan memohon kepada pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang supaya satu laluan alternatif dibuka melalui institusi pengajian tinggi itu.
“Sekiranya pihak UiTM menerima cadangan ini, maka penduduk mempunyai satu lagi laluan alternatif yang lebih baik di samping jalan kampung yang sedia ada,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari ketika merasmikan melakukan lawatan tapak sempena pembukaan semula jambatan tersebut memberitahu bahawa JKR Pulau Pinang telah mengangkat permohonan peruntukan (RM250,000) bagi pembinaan jambatan baru secara kekal kepada KKR.
Difahamkan, kerja-kerja pemasangan Bailey Bridge yang bermula 8 Oktober lalu juga siap dua hari lebih awal daripada tempoh masa sebenar.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT