Penduduk meriahkan Hari Mesra Bersama Rakyat

Admin

Oleh :AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPAS – Kira-kira 300 penduduk sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas berkumpul di Padang Awam Taman Sungai Ara bagi memeriahkan anjuran Hari Mesra Bersama Rakyat di sini baru-baru ini.

Mantan Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Bayan Lepas, Asnah Hashim berkata, penganjuran program berkenaan diadakan bersempena Pertandingan Mewarna KADUN Bayan Lepas anjuran Pusat Khidmat PPK Bayan Lepas dengan kerjasama semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) KADUN Bayan Lepas.

“Penyertaan kanak-kanak dalam pertandingan mewarna memang di luar jangka.

“Matlamat bukan sahaja untuk mengasah bakat anak-anak, malah juga bagi merapati masyarakat di Bayan Lepas,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Selain pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, ibu bapa yang hadir turut berpeluang mendapatkan rawatan serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, mantan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dan penceramah bebas, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Turut terlibat, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang (PPAPP) yang mengadakan pameran dan pendaftaran keahlian perpustakaan bergerak PPAPP.