Penerimaan masyarakat kepada Pulau Silikon meningkap kepada 79.1 peratus

Admin
lis 5576 2

BATU MAUNG – Melalui satu tinjauan badan bebas mendapati penerimaan komuniti nelayan terhadap projek Pulau Silikon semakin meningkat.

 

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) yang menjadi sebahagian daripada kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek Pulau Silikon, tahap penerimaan masyarakat di kawasan selatan meningkat daripada 51.1 peratus pada tahun 2019 kepada 79.1 peratus pada tahun 2022.

 

“Kajian berkenaan yang dijalankan oleh SA Planning Services bersama jurutera perunding EIA Dr. Nik & Associates, melibatkan 314 orang nelayan di mana 74.8 peratus menyatakan sokongan terhadap projek ini.

 

“Selain itu, seramai 450 orang penduduk turut ditemu bual dan daripada jumlah itu, 82.3 peratus menyatakan persetujuan serta keyakinan terhadap manfaat projek ini.

 

“Malah, menurut tinjauan lapangan terbaru yang sedang dijalankan oleh Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN), daripada 180 penerima manfaat SIMP yang telah ditemui setakat ini, majoritinya telah memberikan maklum balas positif mengenai bantuan dan peluang yang diterima.

 

“Hasil awal ini jelas menunjukkan peralihan sokongan di lapangan yang semakin baik apabila komuniti benar-benar merasai manfaatnya,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Manfaat Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) di Kampung Binjai di sini pagi tadi.

 

Turut hadir; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Dato’ Rosli Halim; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus; Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang, Raymond Rosidih; Pengarah Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Silicon Island Development Sdn Bhd (SIDSB), Azmi Mohamad; Ketua Polis Daerah Barat Daya, ACP Sazalee Adam dan Presiden Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang (PNKPPS), Badrul Hisham Hasim.

 

Mengulas lanjut; Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu, semua ini menunjukkan bahawa apabila pembangunan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, telus dan berpaksikan rakyat, keyakinan masyarakat dapat diperkukuh.

 

“Sokongan mereka bukan lagi atas dasar janji, tetapi atas pengalaman sebenar menerima manfaat dan melihat usaha pemuliharaan berjalan seiring dengan pembangunan.

 

“Inilah wajah pembangunan Pulau Pinang yang seiring dengan visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

“Kita bukan sahaja membina infrastruktur moden, malah menambah baik kehidupan rakyat, memelihara alam sekitar dan memberi harapan baharu kepada generasi masa depan,” maklum beliau lagi.

 

Farizan dalam pada itu memberitahu seramai 22 nelayan menerima bot dan enjin di bawah SIMP, menjadikan jumlah penerima setakat ini sebanyak 121 orang.

img 4607 2

“Sijil kompetensi turut disampaikan kepada tujuh daripada 23 nelayan kumpulan keempat kursus jurumudi, yang kesemuanya lulus peperiksaan ditetapkan oleh Jabatan Laut Malaysia.

 

“Baki peserta telah mula bekerja sepenuh masa sebagai jurumudi. Sejak 2022, seramai 48 nelayan telah mendapat pengiktirafan.

 

“Selain itu, 12 bengkel nelayan turut diserahkan kepada penerima yang layak, menyediakan kemudahan lebih selamat dan teratur untuk aktiviti perikanan mereka,” jelasnya.

 

Majlis turut meraikan empat orang peajar yang menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) dengan menerima sumbangan tunai RM500.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN