GEORGE TOWN – Usaha kepengakapan di negeri ini adalah bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030, khususnya dalam melahirkan generasi muda yang berkualiti.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang menegaskan bahawa peranan kepengakapan sebagai platform pembangunan sahsiah dan kepimpinan adalah amat selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam melahirkan modal insan yang mampu menggalas tanggungjawab masa depan, seterusnya menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih harmoni, berdisiplin dan progresif.
“Malah, menerusi hala tuju baharu menjelang tahun 2025, sasaran meningkatkan keahlian nasional kepada 500,000 orang turut dijalankan dengan memperkukuh modul latihan kepimpinan belia, memperhebat aktiviti berimpak tinggi di peringkat sekolah serta komuniti dan memastikan pergerakan pengakap terus relevan dalam era digital ekonomi baharu kini,” ujarnya dalam Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Tahun 2025 di sini pada 29 November 2025.
Pada majlis berkaitan, Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ramli Ngah Talib yang juga Penaung Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang (PPMNPP) turut menganugerahkan Sijil Pengakap Raja kepada 23 ahli pengakap negeri ini, dan darjah kebesaran bintang serta pingat kepada 386 penerima terpilih atas penglibatan aktif serta sumbangan cemerlang dalam mengangkat martabat pergerakan pertubuhan berkaitan.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Dato’ Prof. Dr. Mohd. Zin Bidin; Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Dato’ Zulkifli Kamaruddin dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri, Lee Toong Leon.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menyatakan bahawa menerusi pelbagai aktiviti dan program kepengakapan tersusun, Pengakap Pulau Pinang telah menjadi rakan strategik yang sangat penting dalam membentuk modal insan berdaya saing.
“Aspirasi ini turut diperkukuh melalui kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan World Organization of the Scout Movement (WOSM), yang membuka ruang kepada pertukaran budaya, latihan kepimpinan bertaraf global serta pendedahan antarabangsa kepada pengakap muda.
“(Seiring aspirasi itu), komitmen kerjasama ini juga diperbaharui untuk tempoh 10 tahun dengan memberi tumpuan kepada pendidikan belia dan pembangunan mampan di Malaysia serta rantau Asia-Pasifik.
“Malah, di Pulau Pinang sendiri, aspirasi nasional ini turut memberi rangsangan untuk memperkukuh lagi program latihan pemimpin, memperluas penglibatan sekolah-sekolah serta meningkatkan keupayaan organisasi dalam menganjurkan aktiviti yang kreatif, inovatif dan berimpak sosial.
“Justeru, kejayaan ahli Pengakap Remaja mencapai pengiktirafan tertinggi iaitu Pengakap Raja menjadi bukti komitmen terhadap kecemerlangan, kepemimpinan, disiplin dan jati diri belia,” jelasnya.
Tambah Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memaklumkan bahawa pencapaian yang diraih hari ini mencerminkan kekuatan gerakan kepengakapan di Pulau Pinang.
“Hal ini membuktikan bahawa organisasi pengakap bukan sahaja semakin aktif di Pulau Pinang dan Malaysia, malah terus cemerlang dalam pergerakan antarabangsa, seterusnya mengharumkan nama negeri ini di persada dunia.
“Keterlibatan antarabangsa ini membuktikan bahawa kepengakapan Pulau Pinang bukan sekadar cemerlang dalam aktiviti tempatan, tetapi turut diiktiraf sebagai sebuah organisasi yang berkualiti tinggi di peringkat global,” ulasnya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan bahawa umumnya, komitmen Kerajaan Negeri untuk menyokong pembangunan belia akan terus diperkukuh bagi memastikan pengakap di Pulau Pinang mampu memainkan peranan strategik dalam membentuk generasi masa depan, selaras dengan aspirasi melahirkan masyarakat yang progresif, berdaya saing dan berjati diri.




Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING