GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang akan melaksanakan beberapa langkah segera serta perancangan jangka panjang bagi meningkatkan aspek keselamatan di Jalan Berapit susulan aduan orang ramai dan laporan media berhubung risiko kemalangan di laluan berkenaan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan penduduk setempat dan pengguna jalan raya, namun sebarang penyelesaian perlu mematuhi Garis Panduan serta Arahan Teknik Jalan (ATJ) yang ditetapkan.
Menurut beliau, Jalan Berapit merupakan laluan di bawah seliaan JKR Negeri dan tertakluk kepada spesifikasi teknikal tertentu, termasuk larangan pembinaan bonggol jalan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan serta implikasi perundangan.
Walaupun terdapat permintaan supaya bonggol jalan dibina di kawasan ini, cadangan tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana ia tidak dibenarkan mengikut Arahan Teknik Jalan selain berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Sebaliknya, JKR Negeri Pulau Pinang telah merangka beberapa alternatif yang lebih sesuai dan berkesan bagi menangani isu keselamatan di Jalan Berapit secara menyeluruh,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Zairil memberitahu bahawa langkah penyelesaian jangka pendek yang bakal dilaksanakan memberi tumpuan kepada aspek amaran visual, kawalan kelajuan setempat serta keselamatan pengguna jalan raya.
“Antara tindakan yang dicadangkan termasuk pengecatan garisan jalan jenis yellow transverse bar berwarna kuning dan rumble strip berwarna merah bagi memberi amaran visual serta kesan getaran kepada pemandu supaya memperlahankan kenderaan.
Selain itu, pemasangan papan tanda jalan seperti tanda berhenti, larangan masuk, arah pergerakan dan amaran kawasan kemalangan turut akan dipertingkatkan.
“JKR juga merancang untuk melaksanakan pengecatan yellow box di kawasan persimpangan bagi melancarkan aliran trafik, menambah lintasan pejalan kaki serta memasang tiang penghalang (bollard) bagi mengelakkan motosikal menceroboh laluan pejalan kaki,” jelasnya.
Bagi penyelesaian jangka panjang pula, Zairil memaklumkan bahawa JKR Negeri akan mengemukakan permohonan rasmi untuk menjalankan Kajian Keselamatan Jalan Raya bagi mengenal pasti lokasi titik hitam (black spot) serta menentukan kaedah rawatan kejuruteraan yang paling sesuai.
“Kajian ini akan membantu mengenal pasti penyelesaian yang lebih mampan termasuk pelaksanaan sistem Left-In/Left-Out (LILO) dan pembinaan median jalan bagi mengurangkan risiko perlanggaran serta mengawal pergerakan trafik dengan lebih teratur.
“Kesemua cadangan ini walau bagaimanapun tertakluk kepada penelitian dan kelulusan jawatankuasa teknikal berdasarkan Garis Panduan serta Arahan Teknik Jalan yang berkuat kuasa,” jelasnya lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi had laju yang ditetapkan.
Tambahnya lagi, keselamatan jalan raya bukan hanya bergantung kepada kemudahan infrastruktur yang disediakan, sebaliknya memerlukan tahap disiplin dan tanggungjawab yang tinggi dalam kalangan pengguna jalan raya.
“Sikap pemanduan yang berhemah merupakan faktor utama dalam mencegah kemalangan serta melindungi nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya.