Pengkalan pengoperasian AMG harap rancakkan perkhidmatan dan pelancongan perubatan Negeri

BAYAN LEPAS – Kesudian pihak Aero Medical Global (M) Sdn. Bhd. (AMG) menjadikan Pulau Pinang sebagai pengkalan pengoperasian diharap dapat membantu dan merancakkan lagi inisiatif perkhidmatan serta pelancongan perubatan negeri ini.

KON Yeow berucap semasa majlis perasmian sebentar tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika hadir merasmikan pembukaan Pejabat Urusan AMG dan Pelancaran Klinik Setia Gemilang Cawangan Bayan Baru di sini tadi.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan pengoperasian klinik berkaitan di sini bagi memberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi, menyeluruh dan selesa kepada penduduk perlu.

“Yang mana, selain menyediakan perkhidmatan perubatan lengkap untuk setiap lapisan masyarakat dengan caj berpatutan, AMG juga merupakan tulang belakang dalam menyalurkan perkhidmatan serta pembekalan untuk pasaran tempatan dan negara-negara sekitar Selatan Asia,” ujarnya pada majlis pelancaran berkaitan tadi.

DARI kiri, Dr. M. Sivamuralitharan, Abdul Halim, Kon Yeow dan Kamarollzaman.

Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMG, Kamarollzaman Mohd. Isa dan Pengarah Perubatan, Klinik Setia Gemilang, Dr. M. Sivamuralitharan.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menitipkan ucapan terima kasih terhadap seluruh pasukan AMG dan Klinik Setia Gemilang atas komitmen yang ditonjolkan sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) baru-baru ini.

“Setiap usaha dan penglibatan pihak tersebut  adalah amat dihargai dan secara tidak langsung mempercepatkan pencapaian negeri Pulau Pinang dalam proses imunisasi membabitkan sektor perindustrian.

“Oleh itu, adalah diharapkan kerjasama strategik berkaitan tidak terhenti setakat ini, dan akan kekal optimis memperkasakan jalinannya di masa hadapan,” jelasnya sambil memaklumkan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bakal dibuka kelak untuk proses pemberian suntikan dos penggalak.

KON Yeow sewaktu melihat ruang dalaman Klinik Setia Gemilang.

Difahamkan, Klinik Setia Gemilang bakal membuka empat buah lagi cawangan di negeri ini demi kepentingan kesihatan rakyat negeri ini secara menyeluruh.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: LAW SUUN TING