Peniaga Fasa 1 Pasar Chowrasta harap amal amalan bersih – Exco

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI  

GEORGE TOWN – Seramai 45 peniaga Pasar Awam Chowrasta di sini telah menjalankan perniagaan masingmasing di bangunan baru siap dinaiktaraf sejak setahun lalu.

Projek naiktaraf bernilai RM12.1 juta tersebut amat menitikberatkan kebersihan dalam kalangan peniaga bagi kepentingan dan keselesaan para pengunjung.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Laulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dalam pada itu, berharap supaya para peniaga yang mula berpindah ke bangunan baru Fasa Satu Pasar Awam Chowrasta dapat mengamalkan amalan kebersihan agar ikon Pulau Pinang berkaitan lebih menonjol sebagai contoh.

“Walaupun terdapat sedikit cabaran dari segi pemindahan peniaga dan tempoh projek, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagaimanapun berjaya menanganinya dan akan membuat pemantauan lebih kerap supaya ia (Pasar Awam Chowrasta) dapat menjadi pasar contoh,” ujarnya pada sesi lawatan pembukaan Pasar Awam Chowrasta Fasa Satu melalui Jalan Kuala Kangsar di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng. Pasar Awam Chowrasta yang mula beroperasi sejak tahun 1961 sebelum ini dipercayai tidak pernah dinaiktaraf oleh kerajaan sebelum ini sehingga mewujudkan imej daif serta kotor di mata pengunjung.

Dalam pada itu, Lai Heng memberitahu, 45 peniaga yang juga pemilik kedai yang telah berpindah ke bangunan baru adalah mereka (peniaga) yang sudah lama menjalankan perniagaan di sini.

“Selain peniaga yang telah lama berniaga, beberapa peniaga yang menjalankan perniagaan di luar (bangunan) sebelum ini dan mematuhi syarat-syarat MPPP turut akan berpindah masuk ke bangunan baru,” jelasnya.

Tambah beliau, bagi Fasa Dua, kerja-kerja naiktaraf bakal melibatkan bahagian lot di bahagian blok hadapan (Jalan Penang) membabitkan 25 premis menjual ikan, borong (1), baju (14), kasut, kedai kopi (2), buku dan sayur.

“Buat sementara waktu, mereka (peniaga) akan dipindahkan ke parkir tingkat atas di lot sementara disediakan. “Kerja-kerja naiktaraf dimulakan pertengahan Januari dan dijangka siap Julai ini,” nyata Lai Heng.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);