Peniaga, pemilik premis perniagaan lebih bersedia hadapi gangguan bekalan air

Admin
collage 2025 04 24 19 42 29

RATA-RATA peniaga dan pemilik premis perniagaan berasaskan makanan dan minuman sekitar Pulau Pinang sudah bersiap siaga bagi menghadapi gangguan bekalan air berjadual (SWSI) bermula esok.

 

 

Tinjauan di beberapa lokasi di tengah-tengah bandar George Town dan Bayan Lepas mendapati kebanyakan peniaga dan pemilik premis perniagaan telah melakukan persiapan awal termasuk menyediakan tong-tong bagi penyimpan air bersih untuk keperluan masakan dan pembersihan di premis mereka.

 

 

Bagi pengusaha muruku jenama Zamija, MOHAMED ZULHILMI MOHAMED ZAMRI, setelah menerima notis berhubung SWSI, beliau melakukan persiapan awal dengan mengisi tong air berkapasiti besar.

 

img 20250424 wa0122
MOHAMED Zulhilmi Mohamed Zamri menunjukkan produk muruku yang dihasilkan di kilang pemprosesan di Bayan Lepas.

 

“Sebelum ini semasa berlaku gangguan bekalan air (berjadual) pada awal tahun (Januari), kami memang sudah menyediakan tong-tong air berkapasiti 200 liter bagi menampung kegunaan di kilang pemprosesan kami.

 

 

Jadi kali ini, kami lebih bersedia yang mana saya telah sediakan tong-tong air sama seperti sebelum ini untuk kegunaan selama dua minggu.

 

 

“Walaupun, kilang kami cuti pada hari Jumaat dan Sabtu, tapi untuk kegunaan pada hari Ahad dan hari berikutnya (bekalan air) sudah disediakan,” katanya.

 

 

Menurut Mohamed Zulhilmi, sebanyak dua hingga tiga liter air diperlukan untuk penghasilan muruku dalam sehari.

 

 

“Sehari kami perlukan lebih kurang dua hingga tiga liter air untuk menguli antara 10 hingga 12 kilogram tepung muruku.

 

 

“Cuma untuk kegunaan mencuci dan pembersihan, memang akan banyak guna air, tapi kami dah sediakan untuk dua minggu (kegunaan), insyaAllah cukup,” jelasnya.

 

 

Pemilik dan pengasas restoran berilhamkan masakan Morocco, Warna Cuisine, NOOR FIRDAUS SHABUDIN memberitahu bahawa pihaknya telah menyimpan stok air untuk kegunaan di premis perniagaannya yang terletak di Lebuh Chulia dekat George Town.

 

img 20250424 wa0120
NOOR Firdaus Shabudin di hadapan restoran miliknya.

 

“Stok air tersebut adalah untuk kegunaan memasak, membasuh peralatan memasak dan sebagainya.

 

 

(Dan) sebagai alternatif, di Warna Cuisine kami juga menyediakan pinggan dan kutleri pakai buang untuk memudahkan para pelanggan yang ingin dine-in semasa tempoh (ketiadaan air) tersebut.

 

 

“Malah, sehingga bekalan air pulih sepenuhnnya, kami juga galakkan para pelanggan untuk bungkus (take away) melalui aplikasi Grab Food dan Food Panda,” ujarnya.

 

 

Beliau juga yakin bahawa gangguan bekalan air ini hanya bersifat sementara sahaja demi kebaikan semua pada masa hadapan.

 

 

Selain menyimpan bekalan air untuk kegunaan selama 60 jam, pemilik dan pengasas makanan Cina Muslim, Ambrosia Delicious, SOFIAH MOHD. YUSOF memaklumkan bahawa pihaknya turut menempah air botol berkapasiti 19 liter sebanyak 10 botol untuk digunakan dalam masakan.

 

collage 2025 04 24 19 46 39
SOFIAH Mohd. Yusof.

 

“Air botol ini memang ditempah untuk memasak semasa gangguan bekalan air nanti.

 

 

Buat masa sekarang ini, insyaAllah bekalan yang disimpan cukup untuk tiga hari dan mungkin lebih.

 

 

“Cuma, dari segi tempahan makanan buat masa ini kami hentikan sementara waktu sehingga bekalan air kembali pulih, kami hanya teruskan tempahan yang telah dibuat awal.

 

 

“Lagipun, proses pengeluaran makanan kami banyak, bukan makanan sedia dimakan sahaja tetapi juga sejuk beku dan pes yang dibotolkan.

 

 

“Jadi kami hentikan sementara waktu ambil tempahan, sebab banyak mesin dan peralatan lain yang perlu dibersihkan jika diteruskan seperti biasa,” katanya yang kini bertapak di Bayan Lepas Industrial Park (BLIP).

 

 

Bagi NUR SHAHIDA ABDUL ARAFF, beliau bercadang untuk menghentikan pengeluaran biskut kolca sepanjang tempoh SWSI.

 

img 20250424 wa0118
NUR Shahida Abdul Araff (kiri) bersama-sama ibunya.

 

“Sepanjang tempoh gangguan bekalan air saya memang tak akan teruskan pengeluaran sebab kekangan bekalan air.

 

 

“Setiap hari selepas pengeluaran saya perlu membasuh peralatan memasak seperti kuali, talam, sudip dan sebagainya jadi memang memerlukan banyak air.

 

 

Oleh itu, saya akan hentikan dulu pengeluaran biskut kolca atau mengambil pesanan baharu buat sementara waktu.

 

 

“Lagipun sekarang saya dalam proses pindah masuk ke premis baharu yang terletak di Taman Free School, jadi banyak benda perlu diselesaikan termasuk mencuci premis dan peralatan sebelum boleh beroperasi di sini,’ katanya.

 

 

Tambah Nur Shahida, yang merupakan pengasas biskut legend Pulau Pinang iaitu Kolca Evergreen, beliau menyimpan stok air hanya untuk kegunaan harian di rumah sahaja.

 

 

Bagi J. ANNANARY, beliau tidak bercadang untuk menutup operasi gerai makanannya berikutan telah membuat persediaan awal menyimpan stok air.

 

img 20250424 wa0013
J. Annanary.

 

“Kalau ikut kebiasaan, memang saya tetap akan buka kedai seperti biasa pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

 

 

Setakat ni, gangguan (bekalan) air kali ini tidak akan menjejaskan operasi perniagaan kerana kami ada (menyimpan) air yang cukup untuk keperluan seperti memasak, mencuci dan kebersihan premis.

 

 

“Jadi, walaupun ada gangguan (bekalan) air, kami masih boleh terus berniaga macam biasa dan para pelajar pun boleh datang makan macam biasa,” katanya yang merupakan pemilik makanan India di Desa Siswa Fajar Harapan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

 

 

Jelasnya, pihak pengurusan universiti juga ada menyediakan kemudahan tangki khas untuk kegunaan para peniaga di universiti tersebut.

 

 

Seorang lagi peniaga pan mee di salah sebuah pusat membeli-belah di George Town, ONG AI YIN memberitahu bahawa selain menyediakan tangki simpanan air untuk semua premis perniagaan, pihak pengurusan turut memberi notis makluman awal berhubung SWSI.

 

img 20250424 wa0124
TETAP beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh SWSI yang dijadualkan bermula esok.

 

“Kami sememangnya telah menerima makluman awal mengenai gangguan bekalan air ini, jadi dari awal lagi kami di medan selera ini telah membuat persediaan.

 

 

“Selain menyimpan stok bekalan air dalam tong-tong air, kami juga masih boleh menggunakan bekalan air yang disediakan oleh pihak pengurusan.

 

 

“Maka, kali ini saya tetap akan beroperasi seperti biasa, waktu perniagaan pun tidak ada sebarang perubahan,” ujarnya.

 

 

Berkongsi kisah pada Januari lalu, beliau akui bahawa kali ini lebih bersedia menghadapi situasi tersebut.

 

 

“Ikutkan pengalaman sebelum ini, memang kelam-kabut sebab tidak membuat persediaan secukupnya.

 

 

Tetapi sekarang, kami mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat persediaan awal.

 

 

“Lebih penting adalah pelanggan tidak akan merasa terkesan dan masih boleh menikmati makanan di sini,” katanya.

 

 

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengeluarkan notis pemberitahuan bahawa sejumlah 341,708 pengguna air di seluruh lima daerah di negeri ini bakal menghadapi SWSI.

 

 

Susulan itu, PBAPP mengaktifkan Pelan Bantuan Bekalan Air bagi memastikan kesemua 23 projek kerja air yang dirancang dapat diselesaikan mengikut jadual.

 

 

Berdasarkan kenyataan media PBAPP bertarikh 24 April 2025, skop kerja dan tempoh SWSI adalah berkaitan dengan henti tugas separa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

 

 

PBAPP menyasarkan tempoh pemulihan berperingkat iaitu pemulihan 40 peratus dalam tempoh 24 jam melibatkan kawasan terjejas di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dam Timur Laut (TL).

 

 

Manakala, pemulihan 88 peratus dalam tempoh 48 jam membabitkan kawasan di hujung paip agihan dan kawasan tinggi seperti di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Barat Daya (BD).

 

 

Tempoh pemulihan 100 peratus dalam tempoh 60 jam pula adalah semua pengguna di SPS dan BD.

 

 

Dalam tempoh bermula 25 April 2025, 10.00 malam, PBAPP menyarankan semua pengguna di kawasan terjejas supaya memastikan bekalan air disimpan secukupnya untuk penggunaan selama 24, 48 atau 60 jam.

 

 

Untuk makluman terperinci mengenai SWSI ini dan lokasi tangki-tangki air awam, sila layari laman Facebook PBAPP atau laman web di www.pba.com.my atau hubungi Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-255 8255 dan 04-509 6509.

 

 

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI & NUR BATRISYIA IDRUS