Peniaga terima arahan kosongkan premis dapat pampasan pemaju

PERAI – Para peniaga Pasar Awam Lama Perai lega apabila berjaya memperoleh pampasan daripada pemaju tanah yang diduduki hasil keprihatinan Kerajaan Negeri melalui inisiatif Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy di sini baru-baru ini.

Sebelum ini , semua 23 peniaga di pasar tersebut diminta mengosongkan premis masing-masing tanpa sebarang pampasan setelah syarikat pemaju terbabit bercadang membangunkan tanah tersebut baru-baru ini.

Walaupun pada asalnya pihak pemaju tidak mahu memberikan pampasan atas alasan para peniaga hanyalah penyewa yang telah tamat tempoh sewaan , namun hasil keperihatinan Kerajaan Negeri, dilema terbabit dapat diselesaikan dengan keputusan berpihak kepada peniaga.

Menurut Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, peniaga-peniaga berkaitan sudah lama menjalankan perniagaan masingmasing di sini.

“Ada peniaga yang menyambung perniagaan turun-temurun…ada yang telah menjangkau sehingga lima generasi.

“Adalah tidak adil sekiranya peniaga dipaksa keluar tanpa sebarang pampasan kerana sesetengah peniaga membaiki serta menyelenggara struktur premis masing-masing menggunakan duit sendiri tanpa meminta daripada pemilik bangunan,’’ jelasnya pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Kepada Para Peniaga Pasar Awam Perai Lama di sini baru-baru ini.

Turut hadir, dua Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel dan M. Satees.

Tambah Ramasamy, pihak pemaju bersetuju membayar pampasan secara ansuran dua kali kepada peniaga setelah mendapat perintah mahkamah.

“Kini, para peniaga menerima cek sebanyak 50 peratus daripada jumlah pampasan diterima, manakala baki selebihnya akan dibayar dalam tempoh  masa 48 jam setelah premis dikosongkan.

“Kos pemindahan akan ditanggung sendiri oleh peniaga terbabit. Premis perlu dikosongkan sebelum 2 Mac ini,” ujar beliau.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);