ADUN & polis trafik bantu lerai lalulintas

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ADUN JAWI

JAWI – Kurang dua minggu selepas sesi persekolahan bermula, keadaan trafik dipekan Nibong Tebal terutamanya dari persimpangan Jalan Atas ke Jalan Ooi Kar Seng sesak dengan pertambahan kenderaan di beberapa lokasi berdekatan sekolah.

Justeru, satu inisiatif diambil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee bagi mengatasi dilema berkaitan.

“Dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah baru-baru ini, saya telah menyuarakan kebimbangan lalulintas di kawasan sekitar sini dan telah menghubungi Ketua Polis Daerah SPS (Seberang Perai Selatan) untuk meletakkan seorang pegawai trafik bagi mengawal lalulintas terutama di waktu-waktu tamat sesi persekolahan pagi dan petang,” katanya ketika mengadakan tinjauan di lokasi berkaitan di sini barubaru ini.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), H’ng Mooi Lye turut serta dalam tinjauan selama sejam terbabit.

Menurut Lip Chee, persimpangan Jalan Atas ke Jalan Ooi Kar Seng dan sebaliknya sesak acapkali waktu persekolahan bermula atau tamat.

“Terdapat kira-kira tujuh sekolah sekitar sini dan pastinya setiap kali sesi persekolahan bermula atau tamat, kesesakan pasti berlaku.

“Saya harap, kini dengan kehadiran anggota polis trafik, kesesakan dapat dileraikan dan kes-kes kemalangan dapat dikurangkan,” katanya yang menyeru penduduk sekitar pekan Nibong Tebal agar mematuhi arahan polis trafik bagi mengurangkan kesesakan di sini.

Lip Chee dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis trafik atas khidmat kawalan lalulintas di sini.