SUNGAI ACHEH — Keputusan Kerajaan Persekutuan menggandakan peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI 2025 kepada RM600 juta disifatkan sebagai langkah serius bagi membantu rakyat termasuk di kawasan luar bandar dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.
Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol berkata peningkatan dana itu bukan sahaja membolehkan lebih banyak Program Jualan Rahmah (PJR) Bergerak dianjurkan, malah dapat memastikan kawasan luar bandar turut mendapat akses serta manfaat yang setara.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata demikian semasa merasmikan Karnival Jom Turun Padang Bersama-Sama Pengguna Peringkat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) 2025 di Sekolah Kebangsaan Sungai Setar, Nibong Tebal pada 2 Ogos 2025.
“Saya lihat Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) senantiasa mencari jalan bagi membantu rakyat termasuk di kawasan luar bandar seperti Sungai Acheh dengan menganjurkan PJR Bergerak.
“Harga barang-barang keperluan harian yang dijual (dalam PJR Bergeral) adalah 10 peratus hingga 30 peratus lebih murah berbanding yang ada dalam pasaran kerana Kerajaan serius membantu rakyat menangani isu kos sara hidup.
“Apabila Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim umum peruntukan (Program Jualan Rahmah MADANI 2025) digandakan menjadi RM600 juta, selepas ini lebih banyak PJR Bergerak boleh dianjurkan sekali gus membolehkan rakyat di luar bandar mendapat lebih banyak peluang untuk akses program kerajaan ini,” jelasnya dalam majlis yang dihadiri lebih 500 penduduk setempat.

Selain itu, beliau berkata usaha KPDN Negeri Pulau Pinang meningkatkan literasi pengguna untuk membandingkan harga barangan sebelum membeli, sebenarnya membantu rakyat termasuk di kawasan luar bandar sendiri untuk berbelanja secara hemah dan bijak.
Turut berucap, Pengarah KPDN Negeri Pulau Pinang, R.S. Jegan.
Aerobathon, sukan rakyat, e-Sukan, pertandingan mewarna dan pakaian tradisional, sesi cabutan bertuah, gerai pameran serta jualan antara acara menarik sepanjang berlangsungnya karnival, sejak 8 pagi hingga 2.30 petang di sini tadi.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan pada pada 23 Julai antara lain mengumumkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI 2025 ditingkatkan sekali ganda menjadi RM600 juta, berbanding RM300 juta yang diumumkan sebelum ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI