Penjawat awam, pekerja swasta diseru sertai Rejimen 509 Askar Wataniah

whatsapp image 2025 08 22 at 10.03.00

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru lebih ramai rakyat tempatan dalam kalangan penjawat awam dan pekerja sektor swasta untuk mendaftarkan diri sebagai sukarelawan serta menyertai Rejimen 509 Askar Wataniah di negeri ini.

Menurut beliau, ia bukan sahaja akan memperkukuh benteng pertahanan negeri dan negara malahan membantu dalam pembangunan disiplin serta sahsiah diri.

Saya berharap agar lebih ramai lagi menyertai barisan rejimen ini termasuk mereka yang bekerja dalam sektor swasta untuk menubuhkan platun di tempat kerja masing-masing sekali gus membantu dalam pembangunan sosial dan kebajikan di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Pulau Pinang, yang diketuai oleh Penaung, Brigadier Jeneral Kehormat Tan Sri Dato’ Seri Dato’ Paduka Profesor Dr. Fng Ah Seng di Komtar pagi ini.

Turut mengiringi, Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zunaidi Atimin dan Setiausaha JAKPAW Negeri, Leftenan Kolonel (Kehormat) Dato’ Yaacob Md Saad.

Hadir sama, Ahli JAKPAW Negeri iaitu Mejar (K) Dato’ M. Kaleessvaran; Mejar (K) Dato’ M. Moorthy; Mejar (K); Mejar (K) Dato’ Heng Yak Hoi; Mejar (K) Dato’ Ong KC; Mejar (K) Adnan Abdullah; Mejar (K) Dato’ Chua dan Mejar (K) Jeffrey serta dua pegawai dan juruiring.

whatsapp image 2025 08 22 at 10.03.03
DELEGASI Ahli JAKPAW Negeri Pulau Pinang bergambar kenang-kenangan bersama-sama Ketua Menteri usai pertemuan pagi tadi.

Terdahulu, Kon Yeow diberi penerangan berhubung struktur organisasi Rejimen 509 Askar Wataniah serta bidang kuasa yang turut merangkumi isu keselamatan dan pertahanan; laporan aktiviti kemasyarakatan dan rekreasi; cabaran dalam merekrut penduduk tempatan serta pembaharuan dari segi latihan ketenteraan.

Difahamkan, setakat hari ini terdapat kira-kira 1,200 anggota sukarelawan pelbagai bangsa yang menyertai Rejimen 509 Askar Wataniah di Pulau Pinang.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT