PenMentor berjaya bantu 435 usahawan wanita mikro

Admin
img 20251119 wa0085

GEORGE TOWN – Seramai 435 usahawan wanita mikro berjaya dibantu melalui inisiatif Penang Women Entrepreneurs Mentoring Programme (PenMentor) sejak dilancarkan pada tahun 2020.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata rata-rata wanita yang menyertai program tersebut berjaya meningkatkan pendapatan purata masing-masing sehingga 30 peratus.

“Bagi tahun 2025, seramai 92 usahawan wanita telah mengikuti program intensif meliputi pemasaran digital, strategi perniagaan dan penjenamaan produk dengan bimbingan mentor industri.

“Kejayaan program ini menunjukkan bahawa apabila kita menyokong wanita untuk mengembangkan perniagaan, kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi membuka peluang untuk mereka berdikari dan memperbaiki masa depan keluarga,” katanya dalam sesi Ucapan Penggulungan, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 dekat sini pada 19 November 2025.

Susulan kejayaan itu, Siew Khim berkata Kerajaan Negeri berhasrat untuk meluaskan tersebut ke lebih banyak kawasan terutamanya luar bandar.

“Langkah ini bertujuan memperkukuh akses pasaran bagi usahawan desa serta mempertingkatkan latihan kemahiran digital agar usahawan wanita terus berdaya saing dalam ekonomi digital masa kini,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIAN