Penyewa palsu hadapi tindakan tegas MPPP – Hun Wooi

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 
GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan mengambil tindakan tegas terhadap penyewa yang memalsukan maklumat  berwajib demi memastikan mereka kekal menyewa rumah di bawah projek Perumahan Awam MPPP.

Ahli Majlis MPPP, Tan Hun Wooi berkata, pihaknya baru menerima 133 borang bagi memohon pertukaran nama sahaja, sungguhpun, keseluruhan rumah yang disewakan sebelum ini berjumlah 240 unit.

“Baki 107 unit masih belum memberi sebarang makluman dan ini akan disemak dengan jabatan berkaitan, seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Laporan polis turut akan dibuat, jika, penyewa yang didapati tidak lagi layak tinggal masih ingkar dan enggan melepaskan unit (rumah) mereka semula,” ujar beliau pada satu sidang media di Padang Kota baru-baru ini.

Beberapa Ahli Majlis bagi MPPP lain turut hadir pada majlis interaksi itu.

Langkah agresif itu, kata Hun Wooi, sebagai reaksi pada Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang memaklumkan 240 unit perumahan awam MPPP
disewakan kepada orang yang telah meninggal dunia.

“93 daripada 133 permohonan yang dikemukakan, lima telah ditolak, 10 dalam proses rayuan semula dan 10 lagi masih dirujuk bahagian perundangan MPPP”, ujar beliau lagi.

Katanya, waris kepada penyewa asal yang telahpun meninggal dunia haruslah memaklumkan kepada MPPP dan membuat pertukaran nama, tetapi, masih tertakluk kepada syarat pendapatan RM2,500 ke bawah.

“Pihak MPPP juga tidak akan terlepas pandang memandangkan bancian mengenai perumahan awam milikan majlis akan dijalankan setiap tiga tahun melalui pengisian borang maklumat isi rumah.

“Pemalsuan dan penipuan tentang maklumat ini dipandang serius, jika terjadi dan MPPP tidak akan teragak-agak melaporkan kepada polis dan menarik balik unit berkenaan,” tegas beliau.

Menurut beliau, beberapa rumah berwajib yang dimaksudkan adalah di Taman Free School, Kampung Selut, Jalan Padang Tembak, Lebuh Campbell dan Projek Perumahan Rakyat Jalan Sungai.