Peranan pengamal media penting semarakkan KIS SKMM

Admin
6985dae2 464d 468f ba11 5b29af291489 GAMBAR kenangan seusai selesai program Kempen Internet Selamat Bersama Pengamal Media yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang di Jeti Batu Musang di sini pada 1 Disember 2025.

BUKIT TAMBUN – Penglibatan aktif para pengamal media tempatan dalam proses hebahan maklumat dilihat menyumbang kepada keberkesanan Kempen Internet Selamat (KIS) yang digerakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak awal tahun ini sehingga berjaya mencapai masyarakat pada peringkat akar umbi, termasuk kanak-kanak berusia 13 tahun dan ke bawah.

c28d88d1 6c80 4d34 b70d 51d361d40d33
HASMIZA Hussin dalam sidang media berkaitan di sini sebentar tadi.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang, Hasmiza Hussin berkata, hubungan strategik yang telah terjalin sekian lama antara agensi kerajaan dan pengamal media perlu terus diperkukuh bagi memastikan mesej penggunaan internet secara berhemah, sihat dan selamat dapat disampaikan dengan lebih meluas.

“Selain memberi penerangan mengenai Kempen Internet Selamat, saya berharap kerjasama dengan para pengamal media dapat terus diperkasakan melalui pelaksanaan lebih banyak program bersama pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas berucap dalam program Kempen Internet Selamat Bersama Pengamal Media di Jeti Batu Musang, di sini, pada 1 Disember 2025.

a022cb07 33df 45e8 97d8 fc61e352025f
MOHD. Fitri Hashim (kanan) menyampaikan plak penghargaan kepada Mohd. Iskandar Othman di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Pengarah Negeri SKMM, Mohd. Fitri Hashim turut berkongsi perkembangan serta inisiatif terkini KIS ketika hadir dalam majlis muhibah bersama para pengamal media Pulau Pinang.

Turut hadir, Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, Mohd. Iskandar Othman dan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Negeri Pulau Pinang, Sani Hassan.

Terdahulu, pada 21 Januari lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil melancarkan KIS yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai buli siber, penipuan dalam talian serta isu had umur penggunaan media sosial dalam kalangan pelajar sekolah dan penuntut institusi pendidikan di seluruh negara.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN