BUKIT TAMBUN – Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, majlis sambutan serta acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan Ke-68 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat perkarangan kawasan lapang Stadium Negeri, Batu Kawan, berlangsung meriah di sini sebentar tadi.
Acara rasmi Kerajaan Negeri itu diserikan dengan ketibaan Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, YM Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Mereka berdua diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Seri Law Choo Kiang, yang juga Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Negeri Pulau Pinang, serta isteri, Datin Seri Teoh Hooi Tuang.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta isteri, YBhg. Puan Tan Lean Kee, dengan diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long serta isteri, Datin Seri Faziah Johari.
Di khemah utama, turut kelihatan barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), barisan Ahli Parlimen dan para tetamu kehormat lain.

Tun Ramli sendiri menyempurnakan acara pemeriksaan Perbarisan Kawalan Kehormat Utama (KKU) dengan penuh adat istiadat.
Acara seterusnya adalah melafazkan ikrar Rukun Negara dan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali yang diketuai oleh atlet karate negeri, Muhammad Arif Afifuddin Ab. Malik.
Beliau merupakan pemenang pingat emas dalam acara kumite bawah 84 kilogram (kg) di Sukan Asia Hangzhou 2022, dan kejayaannya itu turut mengakhiri kemarau pingat emas karate Malaysia di Sukan Asia selama sembilan tahun.
Susulan kejayaan itu, Muhammad Arif Afifuddin dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Pulau Pinang 2023/2024, dan diamanahkan menggalas salah satu acara penting sempena sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini.

Sementara itu, di laluan khas bagi acara perbarisan, ribuan rakyat berbilang bangsa kelihatan berhimpit dan tidak berganjak bagi menyaksikan acara perbarisan serta perarakan pelbagai kontinjen berseragam warna-warni.
Tidak kurang menariknya, acara kawad kaki disertai sejumlah 122 kontinjen daripada pelbagai jabatan, agensi negeri serta Persekutuan; badan berkanun negeri dan Persekutuan; anak syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menjadikan jumlah keseluruhan peserta perbarisan adalah seramai 7,533 orang.
Penyertaan bagi kontinjen berkenderaan pula adalah sebanyak 22 penyertaan, melibatkan 958 orang dengan 676 kenderaan.
Manakala, keseluruhan jawatankuasa dan petugas yang terlibat adalah seramai 1,531 orang. Ini menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan kontinjen dan urus setia yang terlibat pada tahun ini adalah berjumlah 10,072 orang.
Pelbagai acara tarian kebudayaan pelbagai etnik dan koir turut dipersembahkan dengan mesej muhibah dan perpaduan rakyat Malaysia yang majmuk.
Sebelum tirai acara dilabuhkan, pengacara majlis mengumumkan pemenang bagi enam kategori kawad kaki yang dipertandingkan sempena Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan Ke-68 Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Bagi Kategori Agensi Awam, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dinobatkan sebagai johan; diikuti Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di tempat kedua, dan Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut di tempat ketiga.
St. John Ambulans Malaysia Negeri Pulau Pinang muncul sebagai pemenang Kategori Agensi Swasta; diikuti Kompeni Butterworth Briged Putera Malaysia (tempat kedua) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) (tempat ketiga).

Bagi Kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pula, juara adalah Kesatria Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Pulau Pinang; naib juara adalah Institut Kemahiran Tinggi MARA (PERDA-Tech), dan tempat ketiga adalah Pusat Pergigian Kanak-Kanak & Kolej Latihan Pergigian Malaysia.
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling johan Kategori Pancaragam, diikuti SMJK Chung Ling Butterworth di tempat kedua, dan tempat ketiga adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Jaya.
Briged Putera SMJK Perempuan Cina Pulau Pinang dinobatkan sebagai johan Kategori Badan Beruniform Sekolah, diikuti Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin di tempat kedua dan Kor Kadet Polis SMJK Chung Ling Pulau Pinang di tempat ketiga.
Sementara Kategori Pakaian Terbaik pula, tempat pertama ialah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), diikuti MBSP di tempat kedua dan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara di tempat ketiga.
Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan Ke-68 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung sejak 8.30 pagi dan melabuhkan tirai pada 11.45 pagi tadi secara rasmi berjaya menghimpunkan lebih 25,000 peserta dan pengunjung.
Kembali bertemu dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena pada 16 September nanti.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & LAW SUUN TING
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD