PERDA akur semak semula harga unit rumah, KN tunggu permohonan – Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo membidas kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang atau PERDA, Dato’ Shabudin Yahaya bahawa Kerajaan Negeri tidak ikhlas dalam membantu PERDA membangunkan perumahan rakyat di negeri ini.

Jagdeep memberitahu, Kerajaan Negeri hari ini bukan sahaja membantu agensi Persekutuan tersebut, malah juga memastikan agar projek perumahan yang dirancang memberi manfaat dan berkepentingan rakyat serta mampu dimiliki.

“Adalah langsung tidak tepat untuk menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak ikhlas dalam membantu PERDA, walhal, baru-baru ini, iaitu pada bulan Januari (2016), PERDA telah bersetuju untuk menyemak semula harga siling unit-unit perumahan mereka,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, tindakan untuk mereka menyemak semula had siling adalah perlu dan berlandaskan Garis Panduan Perumahan Mampu-Milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu menghadkan harga siling RM250,000 bagi perumahan mampu milik di bahagian Seberang Perai dan RM400,000 bagi bahagian pulau.

“Semakan yang dibuat (oleh Kerajaan Negeri) mendapati unitunit perumahan yang dicadangkan oleh agensi persekutuan tersebut, termasuk JKP Sdn. Bhd., jauh melebihi had siling iaitu RM800,000 bagi bahagian Seberang Perai (berbanding RM250,000 yang ditetapkan) dan RM1.8 juta bagi bahagian pulau (berbanding RM400,000 yang ditetapkan).

“Maka, apa yang telah berlaku, Kerajaan Negeri telahpun meminta mereka untuk menyemak semula harga siling dan mereka akur, tidak dipertikaikan oleh PERDA.

“Sekarang, kita (Kerajaan Negeri) menunggu permohonan rasmi dibuat kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa yang mana empat permohonan telahpun diselesaikan isu harga, dua ditangguhkan sementara menunggu laporan status tanah dan satu telah ditarik balik oleh PERDA,” jelas beliau.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman melalui suratnya bertarikh 18 Ogos 2014 kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa 15 projek, iaitu tujuh projek PERDA dan lapan projek JKP Sdn. Bhd. telah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk kelulusan bagi 100 peratus projek perumahan mampu milik, namun, tidak diluluskan.

Sedangkan, melalui semakan yang dibuat mendapati hanya 2,447 unit perumahan yang dipohon untuk pembinaan adalah rumah kos rendah, 6,546 unit adalah perumahan biasa dan 451 unit jenis komersial.

if (document.currentScript) {