Cabar isytihar aset kepada umum, tiada maklum balas pihak berkaitan

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo mencabar pimpinan Barisan Nasional (BN) dilantik supaya mengisytiharkan aset masingmasing kepada umum sepertimana yang dilakukan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang sebagai membuktikan ketelusan dalam menguruskan dana awam.

Jagdeep yang juga merupakan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang memberi tempoh 48 jam (bermula 24 Mac 2016) untuk pihak berkaitan berbuat demikian, namun sehingga 31 Mac lalu (selepas 168 jam) masih tiada sebarang tindakan.

“Usaha pengisytiharan aset telah dilaksanakan selepas Pilihanraya Umum (PRU) Ke-12 pada 2008, di mana Ketua Menteri serta barisan Exco Kerajaan Negeri sudahpun mengisytiharkan segala aset mereka kepada umum.

“Selepas PRU Ke-13 lalu, pengisytiharan aset ini dilakukan pula secara sukarela oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang termasuk Selangor,” katanya dalam sidang media pada 24 Mac lalu di Komtar.

Turut serta, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat memberitahu, cabaran kepada pimpinan BN dibuat setelah melihat negara ‘dihantui’ pertuduhan yang masih tertangguh seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana luar yang didepositkan ke akaun persendirian Perdana Menteri.

“Kita seharusnya tidak membiarkan isu-isu tersebut dibelenggu oleh pertuduhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang atas pembelian kediaman beliau yang masih belum disahkan.

“Diharap penyiasatan berhubung isu ini (pembelian banglo) dapat dijalankan dengan segera untuk membersihkan nama baik beliau memandangkan fakta pembelian kediaman tersebut adalah satu fakta yang tidak dinafikan,” ujarnya yang turut berharap agar pelaksanaan pengisytiharan aset dijadikan amalan ke arah urus tadbir negara yang baik.

} else {