BUKIT TAMBUN – Lebih 25,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah menjalani Latihan Peralihan selepas menamatkan perkhidmatan, kini mempunyai kerjaya kedua.
Hasil pemantauan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Perhebat) iaitu agensi yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pertahanan mendapati lebih 70 peratus veteran menceburi bidang keusahawanan.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari menyatakan bahawa dengan kerjasama Telant Corporation Malaysia Berhad (TelantCorp) iaitu agensi pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), seramai 24 lagi veteran ATM telah direkrut menjalani latihan persediaan di kilang Micron Memory Malaysia.
“Secara keseluruhan, kohort pertama dan kedua (inisiatif Program Veteran MyWira) telah menerima lebih 330 permohonan, dengan 133 calon telah ditemuduga, (yang mana) sekali gus membuktikan iltizam tinggi para veteran tentera untuk terus menyumbang kepada negara dalam peranan baharu,” jelasnya.
Di samping itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Melaka, memberitahu hahawa program transfornasi kerjaya kedua veteran ATM akan diperluas ke sektor swasta yang lain, selain di bawah kementerian tertentu dan agensi Kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TelantCorp, Thomas Mathew dan Naib Presiden Micron Memory Malaysia, Ramu Iyer turut berucap dalam Sesi Libat Urus Bersama Timbalan Menteri Pertahanan di kilang tersebut pada 27 Mei 2025.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD