GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memberi fokus kepada pembangunan generasi muda Islam yang berdaya tahan dan berdisiplin melalui program di bawah Teras Pembangunan Anak Muda APAI2030.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata program Belia MADANI Merdeka menghimpunkan seramai 250 peserta muda bagi memupuk semangat kesukarelawanan dan kepimpinan komuniti.
“Program ini menyediakan platform kepada golongan muda untuk membangunkan kemahiran insaniah, seperti kerja berpasukan, pengurusan projek komuniti, dan penyelesaian masalah secara kreatif.
“Selain itu, program kepimpinan Next Gen Mukmin Mantop dan Next Gen Mukmin pula melibatkan ratusan belia serta pelajar Smart Management & Academic Resource (SMAR) bagi membentuk ketahanan mental, disiplin diri dan karakter melalui modul kerohanian serta aktiviti luar.
“Kem Remaja Jiwa Sakinah yang disertai 80 pelajar juga memberi fokus kepada pembinaan sahsiah, pengurusan emosi dan kerjasama berkumpulan,” katanya dalam sesi Ucapan Penggulungan, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 dekat sini pada 20 November 2025.
Tambah Mohamad, Kerajaan Negeri turut memantapkan jaringan kerjasama melibatkan pejabat agama daerah, masjid, Jabatan Belia dan Sukan serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan golongan muda dibimbing melalui platform yang teratur dan berimpak.
“Pendekatan ini membentuk generasi belia Muslim yang berperanan besar dalam membangunkan masa depan negeri,” jelasnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS