Perkasa pendigitalan perkhidmatan awam menerusi pembangunan semula Sistem iDirektori

img 1024

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda pendigitalan perkhidmatan awam menerusi pembangunan semula Sistem iDirektori Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaras dengan keperluan teknologi semasa dan dasar pendigitalan negeri.

 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long berkata, sistem iDirektori yang mula dibangunkan pada 2008 menggunakan platform PHP5 kini memerlukan penambahbaikan menyeluruh, khususnya dari aspek keselamatan, kebolehgunaan dan kecekapan penyampaian maklumat sejajar dengan evolusi teknologi digital serta jangkaan pengguna masa kini.

 

Menurut beliau, pembangunan semula sistem berkenaan merupakan antara inisiatif strategik di bawah Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021–2025, menerusi Strategi Pembangunan dan Pemantapan Perkhidmatan Digital serta Program Perekayasaan Sistem Aplikasi Berorientasikan Teknologi Terkini.

 

“Pelaksanaan iDirektori versi baharu ini akan menyokong usaha Kerajaan Negeri ke arah pendigitalan perkhidmatan awam, di samping meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat serta memperkukuh tadbir urus dan komunikasi antara jabatan serta agensi kerajaan,” katanya pada sesi pelancaran sistem berkenaan, di sini pada 16 Disember 2025.

 

img 1033
ZULKIFLI Long (berdiri, tiga dari kiri) bersama-sama Mohamed Abdul Rahman (berdiri, kiri sekali) dan Robert Anak Ujang (berdiri, dua dari kiri) ketika menyempurnakan pelancaran sistem iDirektori di Komtar, pagi ini.

 

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman; Setiausaha Bahagian di Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN), Robert Anak Ujang; Setiausaha Bahagian di Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Dr. K. Vishanthini serta barisan Setiausaha Bahagian lain Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP).

 

Dalam pada itu, dari segi tadbir urus, Zulkifli memaklumkan bahawa pembangunan sistem ini dilaksanakan secara kolaboratif dengan BTMKN sebagai pasukan projek dan BKP selaku pemilik sistem.

 

Difahamkan, Sistem iDirektori yang dinaik taraf ini akan dimanfaatkan oleh pelbagai kumpulan pengguna meliputi G2G (Government to Government), G2B (Government to Business) dan G2C (Government to Citizen).

 

Antara ciri penambahbaikan utama yang diperkenalkan termasuk penggunaan teknologi terkini dengan tahap keselamatan dipertingkatkan, paparan antaramuka yang lebih interaktif dan mesra pengguna, fungsi carian pegawai dan perkhidmatan yang lebih cekap, perkongsian kad perhubungan digital serta peranan sebagai platform maklumat perhubungan utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

screenshot 2025 12 16 120632
PAPARAN antaramuka yang lebih menarik dan mesra pengguna merupakan antara penambahbaikan sistem ini.

 

Gambar: PSUKPP