Perkasa perkhidmatan awam menerusi teknologi AI

Admin
mpc

GEORGE TOWN – Ke arah mendepani arus pendigitalan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Kapasiti AI Produktiviti di sini, baru-baru ini.

 

Bengkel yang berlangsung sepanjang bulan Julai itu memberi pendedahan kepada kakitangan MBPP mengenai aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam operasi harian perkhidmatan awam, termasuk automasi tugasan rutin, pengurusan data pintar serta pembuatan keputusan yang lebih pantas dan tepat.

 

Menurut Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara, Mohamad Azrol Mohamad Dali, penerapan teknologi AI merupakan satu keperluan mendesak dalam era digital.

 

“Teknologi AI kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan sektor awam kekal efisien, responsif terhadap perubahan teknologi serta memenuhi jangkaan rakyat.

 

“Program seumpama ini bukan sahaja membina kapasiti dan kemahiran kakitangan, malah menyumbang kepada peningkatan produktiviti organisasi secara menyeluruh,” katanya melalui kenyataan media bertarikh 21 Julai 2025.

 

Mengulas mengenai aspirasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, MPC menegaskan bahawa mereka komited untuk terus memperkasa sektor awam melalui inisiatif peningkatan kemahiran digital dan adaptasi teknologi berimpak tinggi di seluruh negara.

 

Dalam kenyataan media sama, MBPP turut merakamkan penghargaan kepada MPC atas usaha penganjuran bengkel berkaitan pada peringkat pihak berkuasa tempatan yang disifatkan sebagai pemangkin transformasi digital.

 

Difahamkan, ramai dalam kalangan peserta juga berkongsi pengalaman positif tentang penerapan AI dan automasi yang mempermudah tugasan seharian serta meningkatkan kecekapan kerja.

Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: MPC