GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperkukuh pembangunan sosioekonomi ummah melalui pelaksanaan pelbagai projek hartanah dan pengurusan wakaf serta zakat di bawah Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030).
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata sejumlah projek strategik akan dilaksanakan termasuk pembinaan pangsapuri serta pembangunan bercampur.
“Antara projek tersebut ialah pangsapuri serta unit komersial di Bayan Lepas, perumahan kos sederhana di Permatang Damar Laut, dan pembangunan bercampur di Bagan Lalang melalui Akaun Amanah Bumiputera bernilai RM145 juta,” katanya dalam sesi Ucapan Penggulungan, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 dekat sini pada 20 November 2025.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Perpaduan Masyarakat turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran RM200 juta kutipan zakat tahun ini.
“Wakaf dan zakat terus menjadi instrumen penting pemerkasaan ekonomi ummah selaras hasrat APAI2030.
“Kutipan zakat negeri meningkat ketara apabila sehingga Oktober tahun ini, Zakat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Zakat MAINPP) merekodkan sebanyak RM134.1 juta, berbanding RM120 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan ini menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap tadbir urus zakat negeri yang telus dan berkesan,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS