KERAJAAN Negeri disaran mengoptimumkan kapasiti institusi Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika), Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dan Pusat Jagaan (TTPJ) sedia ada sebagai pendekatan lebih praktikal dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak mampu milik kepada masyarakat.
Pengusaha tadika di Pulau Pinang, ASWIRNA SHUKOR berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja dapat mengelakkan pertindihan penggunaan sumber kerajaan, malah memanfaatkan infrastruktur, kepakaran dan tenaga kerja yang telah tersedia dalam ekosistem pendidikan awal kanak-kanak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI di sini sebentar tadi.
Menurutnya, cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah berhubung penyediaan pusat asuhan dan transit komuniti mampu milik serta pandangan beliau yang menekankan kepentingan memperkasa institusi TTPJ sedia ada harus disambut baik oleh semua pihak.

“Pada pandangan saya, kerajaan tidak semestinya perlu membina bangunan baharu, menyediakan fasiliti tambahan atau mewujudkan tenaga kerja baharu untuk melaksanakan inisiatif ini.
“Sebaliknya, kapasiti institusi sedia ada wajar dimanfaatkan kerana kebanyakan pengusaha telah membuat pelaburan besar dari segi premis, kelengkapan, tenaga pengajar dan sistem pengurusan yang memenuhi keperluan pendidikan serta keselamatan kanak-kanak,” katanya.
Mengambil contoh pelaksanaan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Aswirna memberitahu bahawa Kerajaan Negeri boleh menerapkan prinsip sama dengan memanfaatkan rangkaian penyedia perkhidmatan sedia ada tanpa perlu membangunkan ekosistem baharu sepenuhnya.
“Sebagai contoh, penyaluran bantuan SARA yang dilaksanakan melalui rangkaian peruncitan sedia ada.
“Prinsip kecekapan penggunaan sumber yang sama boleh diterapkan dalam sektor penjagaan kanak-kanak melalui kerjasama strategik dengan pengusaha TTPJ berdaftar.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri boleh memperkenalkan skim subsidi yuran atau baucar penjagaan kanak-kanak bagi membolehkan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana mendapatkan perkhidmatan berkualiti pada kadar lebih mampu milik,” sarannya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa pengusaha sedia ada juga dapat menerima manfaat melalui peningkatan jumlah pengguna serta sokongan untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan masing-masing.
Beliau turut mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan model kerjasama awam-swasta (PPP) menerusi skim Baucar Asuhan dan Transit Komuniti, dengan subsidi disalurkan berdasarkan bilangan kanak-kanak yang layak dan benar-benar menerima perkhidmatan di pusat berdaftar.
Aswirna yang turut aktif dalam kegiatan kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkata, proses pemutihan dan pendaftaran TTPJ juga perlu dipermudah melalui penyelarasan antara agensi berkaitan, tanpa mengabaikan aspek keselamatan, kelayakan pengasuh dan kebajikan kanak-kanak.
Selain itu, beliau berpandangan keberkesanan pelaksanaan dasar berkenaan perlu dinilai berdasarkan impaknya kepada masyarakat, termasuk kadar penggunaan kapasiti pusat jagaan, penjimatan kos keluarga, pematuhan aspek keselamatan dan kualiti perkhidmatan.
“Matlamat utama bukanlah berapa banyak pusat jagaan baharu yang berjaya dibina, tetapi berapa ramai kanak-kanak mendapat akses kepada penjagaan berkualiti dan sejauh mana beban kewangan ibu bapa dapat dikurangkan.
“Pembinaan pusat baharu masih boleh dipertimbangkan di kawasan yang benar-benar kekurangan kemudahan berdasarkan pemetaan keperluan setempat,” ujarnya.
Beliau menegaskan kerjasama antara kerajaan dengan pengusaha TTPJ sedia ada merupakan pendekatan yang lebih inklusif dan mampan dalam memperluas akses penjagaan kanak-kanak, selain memastikan peruntukan awam dimanfaatkan secara berhemah.
“Jangan kita membina ekosistem baharu sehingga mengabaikan ekosistem yang telah bertahun-tahun menyumbang kepada pembangunan generasi masa hadapan.
“Perkasakan yang sedia ada, perluaskan akses dan pastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat,” tegasnya.