Perkasa TVET dan STEM demi masa depan ekonomi teknologi tinggi

Admin
whatsapp image 2025 05 22 at 9.33.59 pm

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memperkasa landskap pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai tonggak utama pembangunan modal insan selari dengan transformasi negeri menuju ekonomi berteraskan teknologi tinggi.

Menurut Timbalan Ketua Menteri II merangkap Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi, Jagdeep Singh Deo, Pulau Pinang kini bersedia menggalas peranan sebagai peneraju utama dalam pembangunan bakat berketerampilan tinggi untuk industri semikonduktor dan teknologi global.

“Pelaburan strategik dalam bidang pendidikan dan latihan TVET serta STEM akan terus dipertingkatkan secara menyeluruh dengan sokongan padu daripada sektor awam dan swasta.

“Ia sejajar dengan visi Penang2030 ke arah negeri pintar dan sejahtera,” ujarnya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini tengah hari tadi.

Antara isu yang diberi penekanan ialah usaha mengurangkan jurang akses pendidikan di kawasan luar bandar serta dalam kalangan golongan B40.

“Kerajaan Negeri telah merekodkan kejayaan melahirkan seramai 46,036 graduan TVET luar bandar dengan kadar kebolehpasaran melebihi 90 peratus sejak tiga tahun lalu.

“Inisiatif seperti empowerNCER, eKelas Maxis, serta biasiswa penuh pendidikan tinggi menjadi tonggak utama dalam membina mobiliti sosial bagi komuniti terpinggir”, maklum beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga giat menjalinkan kerjasama bersama syarikat-syarikat teknologi gergasi seperti Intel, Bosch, Jabil dan ViTrox melalui program perantisan dan Train & Place, di samping memperkukuh kurikulum TVET melalui piawaian National Occupational Skills Standards (NOSS) dan input langsung daripada pemain industri.

“Melalui strategi STEM Future-Proofing dan Penang STEM Talent Blueprint, negeri ini menumpukan kepada penciptaan nilai, pelaburan holistik dan transformasi sistem pendidikan yang sejajar dengan keperluan ekonomi abad ke-21,” tambah beliau lagi.

Dengan lebih RM13.3 bilion pelaburan direalisasikan setakat suku pertama 2025 dan penciptaan lebih 3,000 pekerjaan baharu, Pulau Pinang bukan sekadar hab pelaburan, malah menjadi penanda aras pembangunan teknologi dan inovasi di Asia Tenggara.

Oleh: NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS