Perkenal anugerah khas komuniti sukan orang pekak, Exco harap lebih banyak pingat diraih kelak

Admin
2e3d561a 0fa0 43c2 abfa 4d364b3e52a5 LOO Pin Xie (kiri) diiringi ibu, Ng Kwi Chuan menzahirkan penghargaan atas penerimaan Anegerah Kecemerlangan Sukan Negeri Pulau Pinang untuk kategori Calon Kecemerlangan Sukan Orang Pekak (Deaf) di sini menjelang tengah hari tadi.

BAYAN LEPAS – Buat julung kalinya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenal Anugerah Kecemerlangan Sukan Orang Pekak, sebagai pengiktirafan khas kepada atlet dan individu dalam komuniti sukan orang pekak negeri ini.

Anugerah tersebut merupakan satu daripada 12 kategori utama yang akan disampaikan dalam majlis penyampaian insentif sukan negeri tahun ini, sekali gus menandakan penambahan kategori baharu dalam acara berprestij tersebut.

ec59e09a f931 4c2b a08f a9d7f1f5b434
DANIEL Gooi Zi Sen

Mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Daniel Gooi Zi Sen yang juga Exco Belia, Sukan dan Kesihatan memberitahu bahawa dengan pengenalan anugerah itu menjadi Pulau Pinang sebagai negeri kedua memberi penghargaan secara khusus kepada komuniti sukan orang pekak, selepas Wilayah Persekutuan yang mula melaksanakannya pada tahun lalu.

“Langkah ini dilihat sebagai satu usaha inklusif bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian golongan orang pekak dalam bidang sukan, serta memperkukuh semangat kesaksamaan dan kepelbagaian dalam pembangunan sukan negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang di Amari Food Gallery, Amari SPICE di sini pada 5 Julai 2025.

Dengan penganjuran majlis penganugerahan sebegini, beliau berharap sukan negeri terus meraih lebih banyak pingat berbanding pencapaian semasa.

“Kerajaan Negeri turut komited dalam memperkasa sukan pada peringkat akar umbi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat baharu sejak di bangku sekolah.

“Usaha ini penting agar kita dapat melahirkan barisan pelapis atlet yang bukan sahaja berbakat, malah berdisiplin dan mempunyai asas yang kukuh dalam bidang sukan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Difahamkan, pada Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak pada tahun 2024 menyaksikan Pulau Pinang telah berjaya meraih 41 pingat emas, 45 pingat perak dan 53 pingat gangsa, sekali gus memperoleh tempat ke-4 keseluruhan.

Pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 39 peratus berbanding SUKMA Ke-20 pada tahun 2022, yang mana Pulau Pinang berada di tempat ke-7 keseluruhan.

1591eb26 2ba6 40c1 af32 4882f69758fd
DANIEL Gooi Zi Sen (dua dari kanan) diiringi Harry Chai Heng Hua (kanan sekali) bersama-sama beberapa lain menyampaikan anugerah (tengah) kepada salah seorang penerima anugerah dalam majlis berkaitan di sini tadi.

Berucap sebelum itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Harry Chai Heng Hua berkata, pencapaian sukan negeri pasa hari ini adalah hasil sokongan semua pihak berkenaan.

Loo Pin Xie, 20, merupakan antara penerima Anegerah Kecemerlangan Sukan Negeri Pulau Pinang untuk kategori Calon Kecemerlangan Sukan Orang Pekak (Deaf) di sini menjelang tengah hari tadi.

Pin Xie menerima anugerah tersebut atas pencapaiannya sebagai atlet muda yang cemerlang pada peringkat kebangsaan antarabangsa.

Pada Jun 2020, beliau memenangi acara FIDE Online Junior U20 Cup (kategori OKU) dengan 5 daripada 5 mata; pingat perak Kejohanan Catur Para Junior Asia (kategori OKU) selepas menewaskan 34 peserta (Ogos 2021); juara kategori terbuka (Open) Lions International Chess Championship 2021 bagi OKU, mencatat 7 kemenangan tanpa kalah (Oktober 2021).

Pin Xie yang ditemui kemudian menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan MSNPP kerana perkenalkan Anugerah Kecemerlangan Sukan Orang Pekak.

“Saya sangat bangga kerana dipilih menerima anugerah ini, pada petang ini suatu pengalaman yang istimewa juga dalam hidup saya dan keluarga.

“Pencapaian hari ini adalah selepas saya menempuhi perjalanan dan beberapa kejohanan sejak enam hingga tahun lepas,” jelasnya yang ditemani ibu, Ng Kwi Chuan, 54.

Kata Pin Xie lagi, beliau berharap dapat melanjutkan pengajian tinggi di United Kingdom pada bulan September depan, jika permohonan biasiswa berjaya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NOOR ATIKAH RAHMAT