SEBERANG JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini membuka pusat dialisis pertamanya di wilayah utara yang terletak di Seberang Jaya menjadikannya yang keenam di Malaysia.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, pembukaan tersebut akan membantu pencarum-pencarum PERKESO mendapatkan rawatan dialisis dengan lebih mudah.
“Dilengkapi kemudahan moden, rawatan berkualiti tinggi dan kakitangan berpengalaman serta berdedikasi, pusat yang terletak di pejabat PERKESO Pulau Pinang, di Seberang Jaya ini mampu menampung penyediaan rawatan dialisis untuk 36 pesakit sehari.
“Pengoperasian pusat baharu ini akan memberi manfaat kepada lebih 15,000 pencarum aktif yang kini sedang menjalani rawatan dialisis di seluruh negara, terutamanya di rantau utara semenanjung.

“Untuk rekod, berdasarkan statistik untuk 2024 sahaja, PERKESO memperuntukkan RM389.2 juta bagi menampung kos rawatan dialisis pencarum, manakala dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kos berkenaan mencecah RM272.99 juta,” ujarnya sempena Majlis Perasmian Pusat Dialisis PERKESO Seberang Jaya dekat Wisma PERKESO di sini pagi tadi.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri M. Jana Santhiran; Pengerusi Lembagai PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dan tetamu-tetamu kehormat lain.
Mengulas lanjut, Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, dengan adanya pusat dialisis PERKESO, pesakit ataupun pencarum yang datang sini, tidak perlu bayar apa-apa fi disebabkan kos lebih rendah serta mencukupi dari segi subsidi yang diberikan.
Dalam perkembangan lain, Siew Fook memaklumkan, pada tahun ini Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju untuk terus menaja caruman LINDUNG Kendiri, yang sebelum ini dikenali sebagai inisiatif Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Tambahnya inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 35,000 pemandu teksi, pemandu kereta sewa dan 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“MOT menanggung 30 peratus daripada caruman LINDUNG Kendiri yang berjumlah RM232.80 untuk tempoh perlindungan selama 365 hari dengan baki 70 peratus lagi ditanggung oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Belanjawan 2025.
“Jumlah caruman setahun yang sepatutnya RM232.80 bermaksud bahawa sepatutnya pemandu-pemandu sendiri perlu menanggung 30 peratus daripada jumlah caruman tersebut ataupun RM69.90.
“Namun begitu, di atas keprihatinan dan kita nak memastikan kerana kita tahu bahawa kalau dia buat sukarela atas individu mungkin ada yang tercicir, mungkin ada yang tidak menyahut ataupun tidak meneruskan skim tersebut.
“Jadi, sekali lagi, MOT menyahut inisiatif ini dengan menaja baki 30 peratus iaitu RM69.90 daripada jumlah caruman itu kepada semua pemandu teksi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Seremban.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : PERKESO & BERITA HARIAN