Perkukuh akses pendidikan digital, 73 buah sekolah terima smart board

Admin
img 6136

SEBERANG JAYA – Etiqa Takaful Berhad menyerahkan sebanyak 85 unit papan pintar (smart board) bernilai RM748,000 melalui skim wakalah Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) untuk diagihkan kepada 73 buah sekolah terpilih.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, daripada jumlah ini, RM607,200 disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang yang melibatkan sebanyak 60 buah sekolah SK (Sekolah Kebangsaan), SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) dan SABK (Sekolah agama Bantuan Kerajaan.

“Manakala RM140,800 pula disalurkan kepada 13 buah sekolah Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP),” ujarnya  pada Majlis Serahan Sumbangan Smart Board Wakalah Zakat Etiqa Takaful dekat Dewan PERDA Space & Sport Arena, Permatang Pauh di sini tengah hari tadi.

img 6142

Tambahnya, penyerahan tersebut secara langsung memenuhi agenda negara dan juga negeri Pulau Pinang dalam konteks misi untuk menjadikan Pulau Pinang negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.

“Maka, sasaran kita seterusnya adalah untuk melengkapkan sekolah-sekolah kebangsaan yang masih lagi berbaki, belum ada Smart Board.

“Ini antara program yang kita agih secara impak tinggi supaya pelajar-pelajar, terutamanya umat Islam di negeri Pulau Pinang, dapat menikmati pelajaran dan pembelajaran mereka secara digital sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu, Kerajaan Negeri melalui MAINPP sentiasa komited memperkukuh akses pendidikan digital melalui pelbagai inisiatif sebelum ini.

“Antaranya penajaan 8,740 unit tablet kepada 263 buah sekolah dengan jumlah RM6.51 juta.

“Kita juga melaksanakan Program Bantuan Cermin Mata bernilai RM500,000 yang memanfaatkan 2,500 murid, serta bantuan buku latihan dan koleksi soalan percubaan SPM bernilai RM382,231.25.

“Kesemua ini adalah hasil wakalah zakat Etiqa Takaful dengan kerjasama Yayasan Sahabat Bina Negara (YSBN).

“ Hal ini membuktikan bahawa peranan instrumen zakat bukan hanya tertumpu kepada agihan bantuan kebajikan, tetapi turut merangkumi pembangunan kapasiti pendidikan dan pembinaan sosioekonomi ummah yang berkesan pada masa depan,” katanya lagi.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI