Perkukuh dasar, strategi pembangunan hadapi populasi menua

whatsapp image 2025 12 09 at 09.11.03

GEORGE TOWN – Populasi menua membawa implikasi merentasi pelbagai sektor, bukan sahaja dalam bidang penjagaan kesihatan bahkan turut memberi kesan terhadap ekonomi, sosial dan pembangunan negara, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, antara faktor penyumbang kepada pertambahan populasi menua adalah peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran.

Selain itu, semakin ramai juga yang memilih untuk berkahwin lewat atau tidak mahu berkahwin langsung termasuk mereka yang membuat perancangan keluarga bagi mengurangkan kadar kehamilan tidak dirancang sesuai dengan tahap sosioekonomi individu.

“Maka, berdasarkan data-data ini, pihak kerajaan perlu menyesuaikan dasar dan strategi pembangunan bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan negara amnya, terus dipertahankan,” ujarnya.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah Perangkaan Negeri Pulau Pinang, Zainol Jamil, di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perangkaan Negeri, Adrian Austin Spiji.

Dalam pada itu, Zainol melaporkan bahawa berdasarkan unjuran data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), populasi Pulau Pinang dijangka mencapai kemuncak pada tahun 2040 dengan jumlah seramai 1.984 juta dan akan berlaku penurunan bagi tahun-tahun seterusnya, selaras dengan trend penuaan penduduk yang semakin ketara.

Malah beliau memberitahu bahawa berdasarkan Statistik Subnasional 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota, kadar populasi menua menunjukkan peningkatan konsisten selaras dengan perubahan struktur umur penduduk.

Pada pertemuan sama, Zainol turut memaklumkan bahawa DOSM akan menjalankan Bancian Ekonomi 2026 (BE2026), yang mana data diperoleh akan digunakan untuk menilai dan menyokong dasar-dasar nasional termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi negara.

Difahamkan, BE2026 merupakan bancian keenam yang dilaksanakan di negara ini sejak tahun 2001, bertujuan mengumpul maklumat menyeluruh mengenai prestasi dan struktur ekonomi Malaysia.

Sebagai rekod, Zainol merupakan Pengarah Perangkaan Negeri yang baharu dilantik pada 1 Disember lalu. Beliau pernah berkhidmat di Pulau Pinang sebagai Timbalan Pengarah DOSM dari tahun 2014 sehingga 2018.

Lantikan beliau adalah bagi menggantikan Khairolnizam Hassan yang melapor diri ke Sabah sebagai Pengarah DOSM baharu di sana, selepas hampir tiga tahun berkhidmat di Pulau Pinang.

 

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD