Perkukuh kesiapsiagaan hadapi Monsun Timur Laut — Exco

Admin
2da62035 76c8 40d0 9782 cc818072a2d8

KERAJAAN Negeri mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada 5 November ini dengan melaksanakan pelbagai langkah tebatan banjir termasuk kerja-kerja pengukuhan cerun serta penyelarasan operasi antara agensi teknikal utama negeri.

 

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, ZAIRIL KHIR JOHARI berkata, usaha ini dijalankan bagi memastikan negeri ini bersedia menghadapi risiko hujan lebat berterusan, banjir dan kejadian tanah runtuh sepanjang tempoh monsun.

 

Menurut Zairil, beberapa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di bawah Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah siap dilaksanakan, antaranya:

  • RTB Parit 4 di Bukit Tengah;
  • RTB Parit 5 di Taman Mangga dan Jalan Juru;
  • RTB Kawasan Mak Mandin;
  • RTB Sungai Nipah di Taman Iping;
  • RTB Bayan Baru;
  • RTB Kolam Takungan Alma, dan
  • RTB Sungai Tiram di Kampung Naran, Bayan Lepas

 

Selain itu, 14 projek RTB sedang dalam pelaksanaan di seluruh negeri termasuk di Solok Van Praagh; Permatang Rawa; Kampung Pokok Asam dan Pondok Upeh.

 

“Projek-projek ini melibatkan pembinaan kolam takungan, rumah pam dan sistem saliran utama, di samping pendekatan berasaskan alam semula jadi (nature-based solutions) seperti di Sungai Keluang dan Taman Lintang Nibong,” katanya.

whatsapp image 2025 10 10 at 10.26.14
ZAIRIL Khir Johari.

Dalam pada itu, Zairil turut memaklumkan bahawa sebanyak 28 unit pam bergerak kini disediakan, termasuk 13 unit baharu yang dibeli tahun ini bagi memastikan respon pantas sekiranya berlaku banjir.

 

Beliau berkata, keselamatan cerun turut diberi perhatian menjelang musim monsun, khususnya di kawasan berbukit dan laluan utama di bahagian pulau.

 

Sebanyak 16 projek pembaikan cerun dengan peruntukan RM8.78 juta telah diluluskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) hasil permohonan Kerajaan Negeri.

 

“Projek di bawah seliaan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia ini melibatkan lokasi berisiko di Jalan Yahya Petra; Jalan Tanjung Bungah; Jalan Batu Ferringhi dan Jalan Paya Terubong, menggunakan kaedah seperti soil nailing, tieback wall, gunite, hydroseeding dan saliran terkawal.

 

“Kerja pembaikan juga telah bermula pada Ogos 2025 dengan 7 projek dijangka siap tahun ini manakala selebihnya pada 2026,” jelasnya.

 

Sementara itu, Zairil memberitahu bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut menjalankan pemeriksaan cerun berkala di seluruh kawasan berbukit serta menguatkuasakan garis panduan keselamatan terhadap aktiviti pembangunan dan pertanian di kawasan tersebut.

 

Selain itu, katanya, Pasukan Ops Lumpur, yang disertai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), JKR, MBPP, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan agensi teknikal lain terus memainkan peranan penting dalam mengawal hakisan, kelodak dan penguatkuasaan di tapak pembangunan.

 

“Semua agensi teknikal negeri telah mengemas kini Prosedur Operasi Standard (SOP) kesiapsiagaan bencana untuk memastikan tindakan pantas dapat dilaksanakan jika berlaku hujan lebat berpanjangan atau kejadian tanah runtuh,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga itu lagi.

 

Beliau menegaskan bahawa langkah-langkah tersebut adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk melindungi keselamatan rakyat serta meminimumkan impak bencana semasa musim monsun.

whatsapp image 2025 10 10 at 10.29.08 (1)
MOHAMAD Shoki Hamzah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, Mohamad Shoki Hamzah ketika ditemui pemberita memaklumkan bahawa lebih daripada 250 kawasan dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’ banjir.

 

“Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan jumlah ‘hotspot’ paling tinggi iaitu 88 lokasi diikuti Seberang Perai Utara (SPU; 66) dan Seberang Perai Selatan (SPS; 20).

 

“Di bahagian pulau terdapat 41 lokasi ‘hospot’ di daerah Timur Laut dan Barat Daya,” katanya.

 

Tambah Mohamad Shoki lagi, kebimbangan utama adalah kejadian banjir kilat yang berlaku secara tiba-tiba tetapi memberi kesan yang besar.

 

Kita kini memasuki musim Monsun Timur Laut yang diketahui sering membawa bencana banjir yang mana boleh menyebabkan terputusnya laluan atau paling teruk pemindahan penduduk.

 

“Maka, bagi menghadapi musim peralihan monsun ini, JBPM negeri mengerahkan kira-kira 800 anggota untuk bersiap siaga yang mana pasukan (JBPM) boleh bertindak balas dengan pantas jika diperlukan.

 

“Kami (JBPM) mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi walaupun negeri ini tidak mengalami musibah besar sejak kebelakangan ini,” jelasnya.

whatsapp image 2025 10 10 at 10.29.08
ANTARA aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang sering digunakan ketika menghadapi situasi bencana.

Mohamad Shoki turut menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan bertindak awal.

 

“Jangan tunggu sehingga air sampai ke depan pintu rumah terutama mereka di kawasan ‘hotspot’.

 

“Ambil perhatian terhadap makluman pihak berkuasa kerana tindakan awal bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa tetapi juga mengurangkan kerosakan harta benda,” tegasnya.

 

Dalam perkembangan sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangka Monsun Timur Laut akan bermula pada 5 November 2025, membawa hujan lebat berterusan yang berisiko menyebabkan banjir di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang.

 

Menurut laman sesawang rasmi MetMalaysia, fenomena ini berlaku setiap tahun antara November hingga Mac, dipengaruhi oleh luruan udara sejuk dari China yang bergabung dengan sistem cuaca monsun dan menghasilkan hujan lebat serta angin kencang.

 

MetMalaysia turut mengingatkan orang ramai supaya:

  • mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui sumber rasmi MetMalaysia;
  • menyimpan dokumen penting di tempat selamat;
  • menyediakan bekalan makanan dan air secukupnya;
  • membersihkan longkang dan parit bagi mengelakkan aliran air tersumbat;
  • mengelak aktiviti di pesisir pantai dan laut semasa amaran cuaca; serta
  • mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

 

Dalam siaran media bertarikh 30 September 2025, MetMalaysia turut menjelaskan bahawa fenomena El-Niño Southern Oscillation (ENSO) dijangka beralih kepada La Niña dengan kebarangkalian 71 peratus antara Oktober hingga Disember 2025.

 

“Peralihan ini dijangka meningkatkan kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat, yang boleh menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan struktur tidak kukuh.

 

“Pulau Pinang dijangka menerima purata hujan antara 280 hingga 430 milimeter (mm) pada bulan Oktober, dengan jumlah hujan menurun secara berperingkat hingga Mac 2026,” sebagai memetik kenyataan tersebut.

 

Penolong Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia, Prince Assad A. Kahar berkata, penggunaan sistem pemantauan moden seperti satelit, radar dan model ramalan tempatan membantu jabatan mengeluarkan amaran awal bencana dengan lebih berkesan.

 

“Teknologi ini membolehkan kami memberi amaran awal kepada agensi berkaitan supaya tindakan persediaan dan pemindahan dapat dilakukan lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko kerugian,” katanya ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia baru-baru ini.

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ARKIB BULETIN MUTIARA