Perkukuh TEKAD, Pulau Pinang perintis Program Tempat Kerja Bebas Dadah

img 20250924 165425

KOTA BHARU – Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang menganjurkan Lawatan Penanda Aras dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ke Kelantan sempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025.

Program bertemakan “TEKAD On Tour: Dari Penang ke Kelate” itu menghimpunkan 29 jabatan dan agensi kerajaan negeri, menjadikan Pulau Pinang negeri perintis dalam pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di bawah inisiatif #PenangLawanAncamanDadah.

Lawatan diketuai Ketua Unit Integriti PSUKPP, Mohd. Faizal Che Mah, bersama pegawai penyelaras TEKAD serta wakil AADK Pulau Pinang yang diketuai Penolong Pengarah Pencegahan 1, Mohd. Zaki Ablah, dan Penolong Pengarah Pencegahan 2, Nur Syahera Hafiza Musa.

img 20250925 130808 2

Ketika ditemui Mohd. Faizal berkata, kejayaan Pulau Pinang menyatukan 29 jabatan negeri di bawah pelaksanaan TEKAD membuktikan kesepaduan agensi dalam memastikan tempat kerja bebas daripada ancaman dadah.

“TEKAD bukan trend, tapi tanggungjawab bersama. Usaha ini bukan hanya tentang kawalan dadah, tetapi tentang membina integriti, produktiviti dan kesejahteraan dalam organisasi,” katanya.

Beliau berkata, komitmen semua pihak membuktikan Pulau Pinang bukan sekadar bercakap tentang perubahan, tetapi melaksanakannya secara nyata melalui tindakan bersepadu ke arah tempat kerja bebas dadah.

img 20250924 165112

Delegasi disambut Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Kelantan, Rizal Sea’at, sebelum menghadiri sesi taklimat serta perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua negeri bagi memperkukuh strategi pencegahan dadah di tempat kerja.

Perbincangan dua hala turut diadakan bagi mengenal pasti peluang kolaborasi antara AADK Kelantan, AADK Pulau Pinang dan PSUKPP untuk memperluas pelaksanaan TEKAD sebagai budaya integriti sosial dalam sektor awam.

img 20250925 100503

Pada hari kedua, delegasi mengunjungi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok yang disambut Pengarahnya, Mohd. Rizaridzuan Othman, bagi menjayakan program CSR berbentuk sukaneka, senamrobik dan permainan tradisional seperti congkak, karom serta batu seremban.

Sesi curhat bersama klien menjadi detik menyentuh hati apabila peserta berpeluang menyantuni mereka secara dekat, mendengar luahan serta memberikan dorongan moral dalam proses kepulihan.

Delegasi turut meninjau bengkel kemahiran seperti canting batik, jahitan dan pembuatan produk SUKA sebelum menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada pusat berkenaan.

img 20250925 091557

PUSPEN Bachok menzahirkan penghargaan kepada PSUKPP dan AADK Pulau Pinang atas keprihatinan serta sokongan yang diberikan, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negeri dalam agenda kepulihan dan pembangunan sosial.

Lawatan diteruskan ke Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) Pondok Manzilu Rahmah, yang dikendalikan oleh pengasasnya, Abd. Aziz Abd. Halim, bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai pendekatan berasaskan keagamaan dan komuniti dalam proses pemulihan.

 

Gambar : AADK