Permatang Pauh mahukan PR – KM

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bagan yang juga Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa kemenangan di Permatang Pauh membuktikan bahawa majoriti pengundi-pengundi Permatang Pauh khususnya mahukan sebuah Pakatan Rakyat (PR) yang kuat.

“Jelas sekali isu nasional seperti GST (Cukai barangan dan perkhidmatan), skandal kewangan 1MDB dan dasar-dasar gagal ekonomi BN (Barisan Nasional) yang telah didedahkan dengan begitu terperinci sekali oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin telah mendominasi fikiran para pengundi.

“Sekiranya pendedahan terbaru mengenai pembelian tanah 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji terjadi beberapa hari sebelum hari mengundi, UMNO pastinya akan tewas dengan margin yang lebih besar berbanding PRU tahun 2013.

“Kemenangan itu juga merupakan sokongan berterusan terhadap dasardasar utamakan rakyat oleh Pakatan Rakyat, sokongan bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini terpenjara serta komitmen daripada kesemua parti Pakatan Rakyat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataannya di sini baru-baru ini.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh baru-baru ini, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berjaya mempertahankan kemenangan bagi kerusi Ahli Parlimen Parmatang Pauh yang pernah disandang suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 8,841 undi majoriti.

Dr. Wan Azizah yang lebih mesra dipanggil ‘Kak Wan’ mendapat 30,316 undi.

Manakala, calon Barisan Nasional, Suhaimi Sabudin, Salleh Isahak (BEBAS) dan Azman Shah Othman (BEBAS) masing-masing memperoleh 21,475 undi, 367 undi dan 101 undi.

Dalam pada itu, Guan Eng menambah, kemenangan berkaitan adalah jelas sekali bahawa pengundi Permatang Pauh lebih menyukai dasar-dasar Pakatan Rakyat yang lebih mengutamakan rakyat dan bersepadu oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

“Walaupun UMNO menuduh bahawa tidak ada pembangunan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyumbang lebih RM70 juta dalam bentuk bantuan tunai dan dana pembangunan sejak 2008, atau RM10 juta setiap tahun secara purata,” ujar beliau.

Terdahulu, dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei 2013, Anwar berjaya mendapat 37,090 undi dengan 11,721 undi majoriti, menewaskan calon BN, Dr. Mazlan Ismail (25,369 undi) dan calon bebas, Dr. Abdullah Zawawi Samsudin (201 undi).

Dr. Wan Azizah pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh selama tiga penggal mulai tahun 1999 hingga 2008 sebelum memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi ‘tradisi’ itu melalui suatu PRK.

} else {