Pernah dimarah sebab turap jalan, Yuee Harng tekad perkasakan kemudahan awam di Pengkalan Kota

Admin
photo 2025 06 30 13 07 54
SEJAK diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, WONG YUEE HARNG tidak menoleh ke belakang lagi.

photo 2025 06 30 13 07 54 (2)

Nekad memperkasakan kemudahan awam di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) tersebut, Yuee Harng berazam memberi yang terbaik dalam memastikan keselesaan kepada umum secara inklusif khasnya mereka yang menetap di Pengkalan Kota.

Baru-baru ini, Yuee Harng sempat berkongsi perancangan jangka pendek dan panjang bagi mempertingkat infrastruktur dan kesejahteraan komuniti di KADUN Pengkalan Kota khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti di Lebuh Macallum.

“Kita bercakap tentang kawasan yang mempunyai lebih 21 blok perumahan dengan kepadatan sehingga 80,000 orang.

“Setiap perancangan mesti beri manfaat kepada seramai mungkin penduduk,” ujarnya ketika menerima kunjungan wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, SIEW CHIA EN di pusat khidmatnya di sini.

Lampu limpah dan aktiviti malam

Baru-baru ini projek pemasangan lampu limpah di Taman Kejiranan Macallum telah mendapat sambutan baik daripada penduduk, terutama mereka yang gemar joging, bersiar-siar dan bermain bola sepak pada waktu malam.

photo 2025 06 30 13 07 57 (1)

“Lampu limpah sekarang ditetapkan sehingga 10 malam, namun ada cadangan penduduk untuk lanjutkan sehingga 11 malam atau tengah malam.

“Namun kita sedang pertimbangkan sehingga 11 malam, kalau 12 malam mungkin ada yang mahu tidur awal dan itu akan mengganggu sedikit.

 
“Dari sudut lain ada yang minta lampu limpah di sini dibuka jam 4:30 pagi,” ceritanya yang turut menerima pelbagai respons daripada penduduk sekitar.

 

Naik taraf gelanggang dan bumbung

Bercakap mengenai projek menaik taraf gelanggang dan bumbung, Yuee Harng memberitahu bahawa gelanggang sedia ada kini kerap digunakan oleh remaja untuk aktiviti seperti sepak takraw dan futsal.

“Permohonan telah dibuat untuk menaik taraf lantai konkrit dan menjadi kawasan serba guna yang boleh digunakan untuk sukan seperti pickleball, selain memasang bumbung separa tertutup dan pagar anti-panjat demi keselamatan.

photo 2025 06 30 13 07 57

“Sekiranya berjaya direalisasikan, KADUN Pengkalan Kota akan menjadi lokasi pertama di Pulau Pinang mempunya gelanggang pickleball secara ‘outdoor’.

“Ini bukan soal tambah kemudahan saja, tetapi pastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya. Kita mahu ruang awam ini sentiasa hidup, aktif dan inklusif seterusnya digunakan oleh semua,” jelas beliau lagi.

Laluan pejalan kaki berbumbung

Dalam mewujudkan George Town bandar mesra pejalan kaki, Yuee Harng turut mengemukakan pelan membina laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan Macallum sebagai sambungan pada projek perintis bersama-sama pihak Majlis Bandraya Pulau Pinang (MBPP).

“Perkara tersebut disifatkan sangat penting kerana ramai penduduk di sini bergantung pada pengangkutan awam, berjalan kaki dan basikal untuk ke sekolah, klinik, pasar dan ke Komtar.

“Laluan berbumbung bukan hanya soal keselesaan, ini soal hak akses yang adil untuk semua golongan terutamanya warga emas, pelajar dan komuniti B40 yang bergantung kepada pengangkutan awam.

“Seperti diketahui stesen LRT (transit aliran ringan) Pengkalan Kota bakal diwujudkan oleh pihak MRT Corporation dan sekiranya dia dapat disambung hingga ke stesen Komtar ia amatlah dialu-alukan untuk kemudahan semua,” ulasnya lagi.

 

Gelanggang futsal di Tan Jetty

Yuee Harng turut menceritakan tentang potensi mewujudkan gelanggang futsal kondusif di Tan Jetty sebagai satu-satunya gelanggang di tepi laut di Pulau Pinang yang digunakan oleh pelbagai komuniti termasuk pasukan bomba.

“Kita mahu pasang bumbung di gelanggang futsal Tan Jetty supaya orang ramai boleh bermain walaupun ketika hujan.

“Kalau perasan, di Norway, ada gelanggang futsal ikonik tepi laut, jadi saya percaya gelanggang futsal ini pun sebenarnya menarik, cantik tidak perlu ke Norway pun.

“Tambahan daripada itu, gelanggang ini menjadi simbol muhibah sebab ia terletak di kawasan majoriti berbangsa Cina tetapi pemain rata-ratanya adalah remaja Melayu.

“Pasukan futsal Bomba Lebuh Pantai juga sering berlatih di sini,” katanya.

Kawasan hijau

Buletin Mutiara turut dimaklumkan tentang tambakan tanah seluas 10 ekar yang sedang dilaksanakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di belakang Pangsapuri Pelangi.

photo 2025 06 30 13 07 58
“Apa yang saya harapkan sekurang-kurangnya satu ekar dapat dijadikan kawasan hijau kepada penduduk.

“Seperti yang saya cakap, saya lebih suka satu perkara dibuat mampu dimanfaatkan tidak kisah anda T20, M40, B40, saya mahu semua merasai pembangunan yang kita buat.

Sebelum menutup bicara, Yuee Harng turut berkongsi pengalaman ‘lucu’ yang tidak pernah difikirkan untuk beliau lalui sebagai ADUN.

“Di kawasan rumah kluster sana, 30 tahun sudah tidak pernah turap jalan, jadi saya ambil keputusan untuk turap semula.

“Sekembalinya untuk membuat lawatan siap kerja, tiba-tiba saya didatangi dan dimarahi oleh seorang penduduk.

“Isunya sebab projek itu telah menyebabkan kereta usang yang dijadikan stor selama ini telah dialihkan,” ceritanya yang masih merasa ia adalah momen yang mencuit hati namun menerimanya dengan hati terbuka.

Rentetan peristiwa itu juga beliau memegang satu prinsip, tetaplah berbuat baik walaupun mungkin ada segelintir yang tidak suka.

“Beri manfaat kepada golongan teramai walau mungkin ada beberapa pihak kurang berpuas hati mungkin atas sebab-sebab yang tidak munasabah,” katanya menutup bicara.