Persekitaran selamat, pembangunan hijau dan bersih antara 10 keutamaan Bajet 2027 MBSP

img 20261005 wa0054

SEBERANG JAYA – Persekitaran yang selamat, pembangunan hijau dan bersih serta bandar berdaya tahan dan berdaya huni menjadi antara 10 keutamaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerusi Bajet 2027 yang dirangka berteraskan keperluan dan aspirasi rakyat.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, Bajet 2027 MBSP bukan sekadar memberi tumpuan kepada aspek pembangunan fizikal, malah turut memperkukuh penyampaian perkhidmatan melalui transformasi digital, pengurusan kewangan berhemah serta penglibatan komuniti secara lebih menyeluruh.

“Bajet MBSP tahun 2027 adalah berasaskan keutamaan dan mengguna pakai metodologi Bajet Responsif Gender dan Partisipatori (GRPB) bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan MBSP.

“Pendekatan ini turut mengambil kira pandangan serta keperluan penduduk Seberang Perai melalui proses libat urus dan soal selidik yang dilaksanakan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2027 MBSP sempena Mesyuarat Majlis Penuh Bajet (Bajet 2027) Bil. 01/2026 di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya, di sini, sebentar tadi.

img 20261005 wa0044

Menurut beliau, MBSP telah mengadakan sesi libat urus bersama semua Ahli Majlis pada 21 Mei 2026 bagi mendapatkan cadangan dan pandangan dalam merangka Bajet 2027.

Selain itu, Soal Selidik Bajet 2027 turut dijalankan secara dalam talian menerusi laman web MBSP dari 1 Februari hingga 13 Mac 2026.

Hasilnya, seramai 4,110 responden mengambil bahagian, terdiri daripada 2,644 lelaki (64.3 peratus) dan 1,466 wanita (35.7 peratus).

“Sebanyak 400 cadangan daripada penduduk Seberang Perai dan 47 cadangan daripada Ahli Majlis telah diterima untuk menambah baik perkhidmatan MBSP.

“Ini menunjukkan bahawa penyediaan bajet bukan hanya melibatkan aspek kewangan tetapi turut memberi ruang kepada rakyat untuk menyuarakan keperluan dan keutamaan mereka,” katanya.

Mengangkat tema ‘Transformasi Digital Memacu Penyampaian Perkhidmatan Cemerlang’, Bajet 2027 MBSP memberi penekanan kepada empat fokus utama iaitu Reformasi Pengurusan Kewangan, Pengukuhan Modal Sosial, Menstruktur Daya Tahan Ekonomi serta Pendigitalan Operasi Dalaman dan Penyampaian Pintar.

Baderul Amin berkata, bagi tahun 2027, MBSP mencadangkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM461.08 juta, meliputi RM423.02 juta bagi perbelanjaan mengurus, RM23.20 juta untuk pembangunan dan RM14.86 juta bagi harta modal.

Manakala, anggaran hasil MBSP pula berjumlah RM425.08 juta, terdiri daripada Hasil Cukai sebanyak RM282.06 juta, Hasil Bukan Cukai (RM130.82 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM12.20 juta).

Bagi menampung keperluan kewangan, beliau memberitahu bahawa MBSP turut akan menggunakan Kumpulan Wang Sumbangan berjumlah RM118.2 juta, selain menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berjumlah RM7.21 juta.

“MBSP akan terus mengamalkan perbelanjaan yang berhemah, memperkukuh budaya kerja yang cekap, akauntabiliti dan berintegriti serta menutup ruang ketirisan melalui langkah penjimatan dan peningkatan kutipan hasil,” katanya.

Jelasnya lagi, Bajet 2027 MBSP dirangka bukan sekadar untuk memenuhi keperluan operasi semasa, sebaliknya sebagai instrumen memperkukuh daya tahan bandar, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memastikan Seberang Perai terus berkembang sebagai bandar yang pintar, hijau, inklusif dan berdaya huni.

“Pendekatan berasaskan data, pandangan rakyat dan transformasi digital ini mencerminkan komitmen MBSP untuk memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan memberi impak langsung kepada komuniti,” katanya.

img 20261005 wa0049

10 keutamaan yang digariskan MBSP bagi tahun 2027 ialah seperti berikut:

– Persekitaran yang Selamat – RM51.65 juta;

– Kemudahan dan Infrastruktur yang Berkualiti – RM26.04 juta;

– Gaya Hidup Sihat – RM8.99 juta;

– Pembangunan Hijau dan Persekitaran Bersih – RM202.25 juta;

– Penerapan Teknologi Baharu – RM19.06 juta;

– Ekonomi Bandar yang Berdaya Saing – RM36.80 juta;

– Memperkukuhkan Budaya dan Warisan – RM1.20 juta;

– Bandar yang Berdaya Tahan dan Berdaya Huni – RM79.43 juta;

– Keterlibatan Komuniti – RM7.02 juta; dan

– Pembangunan Bandar yang Inklusif dan Saksama – RM28.63 juta.

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN