400 pengusaha premis makanan di Pulau Pinang diiktiraf BeSS sejak 2018

Admin
photo 6206309278839149102 y Zi Sen (kiri sekali) menampal pelekat pengiktirafan BeSS di salah satu premis makanan di Medan Selera Bayana di Bayan Lepas.

BAYAN LEPAS – Kira-kira 400 pengusaha premis makanan di seluruh negeri telah menerima pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) sejak diperkenalkan pada 2018, mencerminkan komitmen berterusan industri makanan dalam memastikan aspek kebersihan serta keselamatan makanan sentiasa diutamakan.

Pencapaian tersebut membuktikan kesungguhan para pengusaha dalam menyediakan premis yang bersih, selamat dan selesa kepada pelanggan, selain memastikan makanan yang disediakan memenuhi tahap kebersihan dan keselamatan ditetapkan.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pengiktirafan BeSS bukan sahaja menitikberatkan kebersihan premis dan keselamatan makanan, malah turut memberi penekanan terhadap penyediaan persekitaran bebas asap rokok.

“Ini penting dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang mengutamakan kesihatan awam serta kesejahteraan masyarakat.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 pengusaha premis makanan di Medan Selera Food Bayana turut menerima pengiktirafan BeSS.

“Malah, pencapaian ini turut melayakkan medan selera berkenaan menerima status Hab Makanan Selamat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan ‘walkabout’ sempena Program Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAS) 2026 di Food Bayana, Medan Bayan Lepas, dekat sini pada 5 Oktober 2026.

photo 6206309278839149095 y
Salah seorang pengusaha makanan di Medan Selera Bayana di Bayan Lepas menampal pengiktirafan BeSS di kedainya.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Zulhizzam Abdullah; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Sazly Azizuddin Sahaimi; Pegawai Kesihatan Daerah Barat Daya, Dr. Chiew Wye Lee; Ketua Cawangan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit JKN Pulau Pinang, Dr. Tan Hooi Shyuan dan Ketua Cawangan Inspektorat dan Perundangan JKN Pulau Pinang, Mohamad Naim Mohamad Rasdi.

Menurut Zi Sen, Program BeBAS merupakan inisiatif KKM yang menggabungkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan dengan usaha melindungi masyarakat daripada pendedahan kepada asap rokok.

“Program ini mula dilaksanakan di Pulau Pinang pada 2024 di Kompleks Makanan Medan Renong, Padang Kota Lama, sebelum diperluaskan ke Kompleks Medan Selera R&R Bandar Cassia dan Pusat Komersial Borealis pada tahun lepas.

“Pada tahun ini pula, program berkenaan diteruskan di Food Bayana, Daerah Barat Daya,” katanya.

Beliau berkata, usaha mewujudkan persekitaran bebas asap rokok turut membuahkan pengiktirafan apabila Bandaraya George Town menerima Anugerah Perak ASEAN Smoke-Free Award 2026 baru-baru ini.

Katanya, pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha berterusan pelbagai pihak dalam mewujudkan persekitaran bandar yang lebih sihat dan bebas asap rokok.

“Namun, matlamat utama kita bukan sekadar menerima anugerah, tetapi memastikan inisiatif kesihatan awam benar-benar memberikan manfaat kepada masyarakat dalam kehidupan seharian.

“Program BeBAS adalah antara contoh bagaimana usaha mewujudkan persekitaran bebas asap rokok dapat dilaksanakan secara langsung pada peringkat komuniti, khususnya di premis makanan yang menjadi tumpuan masyarakat setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu, Zi Sen berkata JKN Pulau Pinang akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan berkenaan, selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.

“Bagi tempoh 2026 sehingga 30 September lalu, sebanyak 2,701 kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan merokok di premis makanan, manakala 254 kompaun dikenakan terhadap pemilik premis atas kesalahan tidak mempamerkan tanda amaran larangan merokok serta menyediakan kemudahan merokok.

“Terbaharu, Operasi Selamat Paru-paru (PaPa) yang dilaksanakan pada 3 Oktober lalu di seluruh Pulau Pinang merekodkan 57 kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 852,” katanya.

Zi Sen berkata, penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi bagi memastikan budaya bebas asap rokok dapat dikekalkan, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pengusaha premis makanan dan masyarakat.

Katanya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan perubahan yang dilaksanakan bukan sekadar bersifat sementara, sebaliknya memberi impak berterusan terhadap tahap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Marilah kita bersama-sama membudayakan amalan kebersihan dan mewujudkan persekitaran bebas asap rokok demi kesejahteraan masyarakat, sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih, sihat dan selamat untuk semua, selaras dengan Visi Penang 2030,” katanya.

Terdahulu, Zi Sen turut bertemu pengusaha makanan di medan selera berkenaan dan menyerahkan pelekat BeSS sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka memastikan kebersihan makanan serta persekitaran premis sentiasa terpelihara.

Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS