Persembahan kebudayaan tradisional warnai Temasya Wanita Butterworth

Admin

BAGAN DALAM – Temasnya Wanita anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berlangsung meriah dengan diwarnai persembahan kebudayaan tradisional masyarakat tempatan serta pelbagai aktiviti menarik yang lain.

Program yang dijayakan bersama Think City Sdn. Bhd. dan Zart Eventive tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MPSP, Mohd. Puad Hamid bertempat di Butterworth Art Walk, di sini pada 16 Mac lalu.

Barisan tetamu jemputan khas menyempurnakan gimik pelancaran Temasya Wanita sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia baru-baru ini.

Mohd. Puad yang mewakili Yang di-Pertua MPSP berkata, pihaknya begitu komited untuk memastikan kesaksamaan gender dalam setiap pembangunan yang dilaksanakan agar dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Sejak tahun 2012, MPSP telah bekerjama dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) untuk melaksanakan kaedah Bajet Gender Responsif dan Penyertaan (GRPB) bagi memastikan setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan hendaklah berorientasikan rakyat dan memberi manfaat untuk semua lapisan masyarakat.

“Hasil daripada kaedah ini telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan berpendatan 40 peratus terendah (B40) seperti penganugerahan kontrak pembersihan kepada komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar dan juga Pulau Aman.

“(Dan) sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat negeri pada tahun ini yang bertemakan ‘Seimbang untuk Sejahtera’ akan menyemarakkan lagi pelaksanaan dasar keterangkuman gender di Pulau Pinang,” katanya pada majlis berkaitan.

Antara pameran yang menarik perhatian pengunjung.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng; wakil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, C. Archana; Pengarah Urusan Zart Eventive, Zaini Zainol; wakil-wakil dari Think City Sdn. Bhd. serta ramai lagi.

Sementara itu, Bee Leng dalam ucapannya memberitahu bahawa Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) yang melibatkan 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).

“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri melancarkan dua inisiatif baru iaitu Dasar Keterangkuman Gender peringkat pentadbiran yang mana… polisi-polisi dan program yang dilaksana akan merangkumi seluruh rakyat.

“Inisiatif ini wajar dipuji kerana kita sememangnya mahu melihat setiap pelaksanaan dasar dan program haruslah melibatkan kaum wanita dan mesra keluarga,” katanya lagi.

Selain persembahan kebudayaan masyarakat Melayu, India, Cina dan Punjabi, program yang bermula seawal jam 8:00 pagi hingga 12:00 tengah malam itu turut dimeriahkan dengan aktiviti untuk kanak-kanak, pameran kraftangan, dan banyak lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MPSP