Persiapan Kontinjen Pulau Pinang ke SUKMA 2022 lancar, semua atlet sihat – Exco

Admin
SOON Lip Chee

PUCHONG, SELANGOR – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memberitahu bahawa persiapan Kontinjen Negeri Pulau Pinang bagi menyahut saingan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang berlangsung pada 16 hingga 24 September ini berjalan lancar.

Beliau yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Pulau Pinang memberitahu bahawa Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; dua timbalan ketua kontinjen; 487 atlet; jurulatih (103); pengurus pasukan (43); pegawai tambahan (49); orang kenamaan (20); urus setia (15) dan pegawai media (10) menyertai temasya sukan pada kali ini yang membawa jumlah keseluruhan seramai 731 orang.

GAMBAR atlet-atlet di perkarangan salah sebuah perkampungan atlet di UKM pada pagi kelmarin.

“Sehingga kini, jumlah pegawai dan atlet seramai 636 orang kekal sihat, tidak ada lagi yang sakit atau dikuarantinkan akibat COVID-19.

“Walaupun (perintah) pemakaian pelitup muka di dalam bangunan telah dilonggarkan (sebagai pilihan), tetapi saya berharap semua terutama di (enam lokasi) perkampungan atlet terus memilih untuk terus memakai pelitup muka dan langkah-langkah pencegahan untuk elak risiko COVID-19.

“Di samping itu, Pulau Pinang masih mengekalkan sasaran 26 pingat emas, (20 perak dan 44 gangga) dalam SUKMA pada kali ini; yang mana pertandingan wushu untuk beberapa kategori akan bermula pada esok, dan kita ada sasaran satu pingat emas untuk acara tersebut,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal kepada Buletin Mutiara pada 13 September 2022.

GAMBAR sebahagian Urusetia Utama sekretariat yang berkampung di Tingkat 1, Espire Kinrara Resort dekat Puchong, Selangor Darul Ehsan.

Beliau turut memaklumkan pada Majlis Menaikkan Bendera Kontinjen turut akan dilangsungkan di perkarangan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 14 September 2022, bermula 8.30 pagi.

Selain itu, Lip Che memberitahu bahawa mesyuarat antara CDM pada awal pagi tadi antara lain turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak akan menyempurnakan acara pembukaan SUKMA 2022 yang dijadual pada 17 September ini kerana menghadiri istiadat penghormatan terakhir mendiang Ratu Elizabeth II di London.

“Menteri Belia dan Sukan akan merasmikan acara pembukaan SUKMA Ke-20 nanti yang mana Ketua-Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Besar turut dijadualkan menyertai acara perasmian pembukaan tersebut.

“Pada pagi ini, saya akan membuat jemputan rasmi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow untuk turut serta pada majlis perasmian pembukaan temasya sukan tersebut nanti,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Lip Chee memberitahu bahawa pihaknya pada petang nanti akan mengadakan lawatan ke semua perkampung atlet demi memastikan tahap kesihatan semua atlet dan jurulatih terus berada pada tahap optimum bagi merebut sebanyak mungkin pingat pada temasya sukan kali ini.

Edisi ke-20 SUKMA menyaksikan sebanyak 31 jenis sukan dipertandingkan membabitkan penganjuran 426 acara.

SUKMA ke-20 yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN), menyaksikan beberapa acara bakal dipertandingkan di beberapa lokasi pilihan termasuk di sekitar Lembah Klang, Nilai (Negeri Sembilan) dan Langkawi (Kedah).

Hampir 9,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen yang bertanding telah mengesahkan penyertaan untuk temasya sukan itu kali ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & MSNPP